RANCANGAN popular Netflix "Squid Game" bakal kembali untuk musim kedua, kata penulis dan pengarahnya Hwang Dong-hyuk.
"Banyak tekanan, permintaan dan kasih sayang daripada peminat untuk musim kedua, jadi saya tiada pilihan, boleh saya katakan di sini memang akan ada musim kedua," lapor Agensi Berita Yonhap.
Hwang berkata demikian dalam temu bual dengan Associated Press pada satu acara di Los Angeles pada Selasa.
Beliau sebelum ini memberi bayangan kemungkinan ada musim kedua untuk rancangan itu namun tidak mengesahkannya.
"Ia ada dalam minda saya sekarang. Saya sedang dalam proses perancangan.
"Tetapi saya rasa masih terlalu awal untuk beri tahu bila dan bagaimana ia akan dibuat. Jadi saya janji kepada anda semua, Gi-hun akan kembali dan dia akan lakukan sesuatu untuk dunia," katanya
Rancangan thriller berbahasa Korea itu mengisahkan peserta bersaing untuk memenangi hadiah 45.6 bilion won (US$38.5 juta). Mula ditayangkan pada September, ia menjadi rancangan asal Netflix paling popular, menarik lebih 140 juta penonton dalam tempoh empat minggu pertama tayangan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram