Squid Game papar realiti sebenar di Korea Selatan


  • Benua
  • Rabu, 13 Okt 2021

SQUID Game mendapat sambutan hangat di seluruh dunia apabila mula disiarkan di Netflix pada bulan lalu. — Reuters

LAMAN web propaganda Korea Utara pada Selasa menegaskan rancangan bersiri yang sedang hangat di Netflix, Squid Game mendedahkan realiti budaya kapitalis Korea Selatan yang mana "rasuah dan individu tidak bermoral adalah sesuatu perkara yang biasa.”

Memetik kata-kata pengkritik filem Korea Selatan yang tidak dinamakan, laman web Arirang Meari berkata, rancangan bersiri itu memaparkan “masyarakat tidak sama rata, apabila orang yang tidak berwang dilayan seperti buah catur untuk golongan kaya”.

Siri drama thriller sembilan episod itu memaparkan peserta yang mempunyai masalah kewangan menyertai pertandingan berasaskan permainan kanak-kanak dengan hukuman maut untuk memenangi 45.6 bilion won (RM157 juta), mendapat sambutan di seluruh dunia apabila disiarkan di Netflix pada bulan lalu.

“Ia dikatakan membuatkan orang ramai menyedari realiti menyedihkan masyarakat Korea Selatan yang ganas, di mana manusia sanggup memasuki pertandingan ekstrem dan nilai kemanusiaan mereka terhapus,” kata artikel itu.

Korea Utara mengenakan hukuman denda atau penjara terhadap sesiapa yang ditangkap menikmati hiburan atau meniru gaya percakapan Korea Selatan, dalam usaha pemimpinnya, Kim Jong-un meningkatkan perang terhadap pengaruh luar serta menggesa hiburan tempatan yang lebih baik.

Undang-undang baharu “pemikiran anti-reaksonis” telah diluluskan tahun lalu yang memperuntukkan hukuman 15 tahun dalam kem penjara bagi mereka yang ditangkap memiliki bahan media dari Korea Selatan, menurut laman web Daily NK, sebuah laman web Korea Selatan yang membuat laporan berdasarkan maklumat sumber di Korea Utara.

Budaya Korea Selatan kerap dikecam di Korea Utara. Pada Mac, Arirang Meari berkata bintang K-pop dilayan seperti 'hamba' oleh syarikat besar dan menjalani 'kehidupan menyedihkan' di Korea Selatan.

Pada Februari 2020, akhbar pro-Korea Utara di Jepun memuji filem Parasite keluaran Korea Selatan kerana “jelas mendedahkan realiti” jurang antara golongan miskin dan kaya di negara itu. — Reuters