Idea hebat The Rock untuk San Andreas 2


  • Hiburan
  • Selasa, 09 Nov 2021

JOHNSON (kiri) dijangka sekali lagi bergandingan dengan Gugino dalam sekuel filem San Andreas. — Agensi

BINTANG filem San Andreas, Dwayne Johnson mendedahkan produksinya akan bekerjasama dengan New Line Cinema untuk menerbitkan sekuel San Andreas 2.

Johnson yang memegang watak utama di samping Carla Gugino dan Alexandra Daddario dalam filem itu berkata, dia mempunyai idea hebat untuk diketengahkan dalam plot San Andreas 2.

Dalam temu bual terbaharu dengan SiriusXM, Johnson yang terkenal dengan gelaran The Rock, mendedahkan bahawa idea untuk sekuel itu telahpun dibincangkan di peringkat dalaman di syarikat produksinya, Seven Bucks.

Walaupun Johnson tidak menjelaskan sebarang butiran mengenai idea itu, dia berkata idea tersebut sangat 'hebat'.

Begitupun, Johnson menjelaskan bahawa masalah terbesar yang dihadapi dari segi melaksanakan penggambaran sekuel San Andreas adalah penjadualan memandangkan pelakon itu sibuk dengan projek lain antaranya filem adiwira, Black Adam, The King, Doc Savage dan sekuel Jungle Cruise.

"Ada idea yang bagus untuk San Andreas 2. Saya rasa ia bagus. Namun, anda semua tahu cabaran yang kami hadapi iaitu dari segi penjadualan," katanya.

Filem San Andreas mengisahkan seorang juruterbang penyelamat (Johnson) yang menempuh pelbagai rintangan mencari anak perempuannya (Daddario) dalam satu kejadian bencana gempa bumi yang menggegarkan Los Angeles.

Dalam misi menyelamat itu, Johnson yang berdepan masalah rumah tangga, berpeluang berbaik-baik semula dengan isterinya (Gugino). — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram