PENGARAH tersohor, Chris Columbus berkata, filem Harry Porter tidak perlu dibikin semula ketika beliau dalam satu sesi temu bual bersama wartawan, Jake Hamilton baru-baru ini.
Columbus mengarahkan Harry Potter and the Sorcerer’s Stone dan Harry Potter and the Chamber of Secrets, dua filem pertama dalam siri ini dan muncul sebagai salah satu francais filem dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman.
“Dalam versi Hollywood yang kita diami ini, semua orang sedang membuat semula segala-galanya, dan reboot semula segala-galanya. Maksud saya, Home Alone bakal ditayangkan. Apa gunanya?
"Filem itu sudah wujud, jadi kita hidup sahaja dengan filem yang ada. Tidak ada gunanya kita membuat semula The Wizard of Oz, tidak ada gunanya kita membuat semula filem klasik.
"Buat sesuatu yang asli, kerana kita memerlukan lebih banyak bahan asli. Jadi, tiada gunanya,” katanya kepada Hamilton.
Komen pengarah itu juga seolah-olah mencadangkan bahawa dia tidak sepenuhnya setuju dengan idea reboot semula Home Alone yang bakal ditayangkan tidak lama lagi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram