Penyakit BPH tunjuk trend meningkat


  • Sihat
  • Isnin, 08 Nov 2021

PENYAKIT BPH perlu dirawat bagi mengelakkan sebarang komplikasi lain. — Gambar hiasan

PENYAKIT hiperplasia prostat benigna (BPH) atau pembesaran prostat bukan kanser dilaporkan menunjukkan trend meningkat pada tahun-tahun kebelakangan ini, demikian menurut American Journal of Men’s Health, jurnal akses terbuka yang menumpukan pada maklumat mengenai kesihatan dan penyakit lelaki.

Pada 2019, dianggarkan 11.26 juta kes BHP di seluruh dunia dan menurut data, masalah itu dialami oleh 50 peratus lelaki berusia antara 51 dan 60 tahun serta 90 peratus bagi kelompok usia 80 tahun ke atas.

Pakar kesihatan berpendapat peningkatan kes bergerak seiring dengan pertambahan populasi dunia dan juga penuaan masyarakat.

Corak sama dikesan di Malaysia. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, kira-kira 16 peratus lelaki Malaysia berusia 40 tahun ke atas mengalami gejala BPH. Tinjauan juga mendapati lelaki berusia 75 tahun ke atas paling berkemungkinan mengalami gejala BPH (33 peratus) berbanding kumpulan usia sekitar 40 tahun (10 peratus).

BPH merupakan penyakit lazim dalam kalangan lelaki yang berusia, membabitkan pembesaran kelenjar prostat iaitu satu organ dalam sistem reproduktif lelaki.

Prostat lazimnya bersaiz sebesar kacang berangan, namun bagi mereka yang menghidap BPH, organ itu boleh membengkak sebesar buah oren. Penyakit ini biasanya hadir dengan gejala saluran kencing bawah yang boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit dengan ketara.

Ujar pakar kesihatan, walaupun BPH adalah sebahagian daripada proses penuaan yang mungkin tidak dapat dielakkan, ini tidak bermakna penyakit itu harus diabaikan. Jika tidak dirawat, penyakit tersebut boleh menimbulkan pelbagai komplikasi seperti kencing tidak lawas, jangkitan saluran kencing, kerosakan pundi kencing, dan kencing berdarah atau batu karang - membawa kepada penyakit buah pinggang yang teruk.

Menurut Ketua Jabatan Urologi Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Dr Khairul Asri Mohd Ghani, usia merupakan indikator utama dalam mengesan perkembangan BPH.

Meskipun BPH merupakan masalah biasa dalam kalangan lelaki berusia 50 tahun ke atas, beliau menjelaskan gejala BPH turut dialami oleh sebilangan lelaki yang lebih muda di Malaysia.

Tambahnya, faktor-faktor risiko seperti sejarah keluarga, sindrom metabolisme dan obesiti boleh meningkatkan risiko mengalami BPH. Sesetengah kajian menunjukkan obesiti pada bahagian tengah tubuh (pengumpulan lemak berlebihan pada bahagian abdomen) ada kaitan dengan perubahan hormon seksual yang boleh membawa kepada permulaan gejala BPH.

Pemerhatian menunjukkan prevalens BPH dalam kalangan populasi lelaki meningkat sedari usia 40 tahun, sekali gus menekankan kepentingan intervensi awal.

"Dalam lain perkataan, jarang lelaki berusia antara 20 dan 30 tahun mengalami gejala urinari berkaitan BPH yang teruk atau pembesaran prostat, melainkan kerana jangkitan (prostatitis) atau lain-lain punca yang berkaitan,” jelasnya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram