Satu perempat penduduk Malaysia dianggar hidap strok menjelang 2040


  • Primer
  • Jumaat, 29 Okt 2021

KAJIAN pada 2017 melaporkan sebanyak 40 peratus daripada pesakit strok adalah individu berusia 60 tahun ke bawah. — Gambar hiasan

SEORANG daripada empat penduduk Malaysia dianggarkan akan mengalami strok menjelang 2040 sekiranya tiada tindakan pencegahan diambil sejak awal, menurut hasil kaji selidik Global Burden of Disease stroke Statistics Worldwide pada 2016.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi menghindari perkara tersebut, rakyat negara ini perlu mengamalkan gaya hidup sihat dengan tidak merokok atau mengambil tembakau dalam apa jua cara, mengamalkan pemakanan yang sihat, melakukan aktiviti fizikal serta mengelak pengambilan alkohol.

Selain itu, ujarnya, semua pihak perlu memainkan peranan membantu pesakit dan penjaga pesakit selain melaksanakan langkah pencegahan serta kawalan bagi memastikan prevalen serta komplikasi penyakit strok di negara ini dapat diturunkan.

"KKM (Kementerian Kesihatan) menyeru semua pihak terutamanya petugas kesihatan agar bersama-sama menggembleng tenaga memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan berpaksikan pesakit.

"Ini dapat membantu pesakit dan penjaga dalam menangani isu berkait penyakit strok seterusnya mengurangkan prevalen dan komplikasinya akan tercapai,” ujarnya dalam kenyataan sempena Hari Strok Sedunia 2021 pada Jumaat.

Berkongsi laporan daripada kajian Monitoring stroke Burden in Malaysia yang dijalankan pada 2017, beliau berkata kajian itu menganggarkan sebanyak 150 dalam 100,000 penduduk Malaysia mengalami penyakit strok dengan purata kemasukan harian ke hospital sebanyak 92 kes.

Tambah beliau, kajian tersebut turut melaporkan sebanyak 40 peratus daripada pesakit strok adalah individu berusia 60 tahun ke bawah.

"Malaysia juga mencatatkan hampir 32 kematian setiap hari akibat strok dan pesakit strok dibebani dengan pelbagai morbiditi dengan tujuh daripada 10 pesakit strok bergantung kepada orang lain bagi meneruskan kehidupan,” jelasnya.

Menurut Dr Noor Hisham, walaupun kualiti perkhidmatan strok akut di negara ini menunjukkan peningkatan namun masih terdapat individu yang mengalami ketidakupayaan selepas menghidap penyakit strok.

Katanya, ketidakupayaan tersebut adalah kompleks dan melibatkan pelbagai aspek termasuk fizikal, kognitif, sosial dan emosi.

"Ini meningkatkan beban penyakit dan mewujudkan keperluan yang tinggi untuk perkhidmatan rehabilitasi strok yang efektif bagi mengurangkan komplikasi awal serta meningkatkan tahap kefungsian seseorang individu yang mengalami strok,” jelas beliau lagi.

Menyentuh mengenai komitmen kerajaan, beliau memaklumkan KKM mewujudkan Kerangka Strategik Program Perubatan 2021-2025 pada Mei tahun lepas dengan menggariskan tujuh strategi utama khususnya bagi memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kesihatan di hospital. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram