Makan gelojoh antara punca anda kerap kentut


  • Sihat
  • Jumaat, 22 Okt 2021

KENTUT di khalayak ramai dianggap tidak sopan, tetapi tidak sihat jika anda menahannya.

JIKA perut anda mengembang dan mula berkeroncong, anda tahu apa yang akan menyusul.

Dan jika anda tidak berseorangan pada masa itu, anda mungkin tidak dapat menahannya dan bimbang akan bunyi dan bau yang bakal terhasil.

Jika anda cuba melepaskan dengan senyap, jarang sekali ianya berkesan kerana kebiasaanya, senyap itu lebih menyumbang kepada bau yang kurang enak.

Tetapi anda mungkin terlepas dari tuduhan kerana tiada bunyi yang didengari.

Dalam kebanyakkan budaya, mereka akan berasa malu jika mereka kentut di khalayak ramai.

Walaupun begitu, doktor menasihatkan supaya anda tidak memaksa mengeluarkan gas dari usus anda itu kerana berkemungkinan anda akan merasa sakit.

Malah, anda perlu cari masa yang sesuai dan jauhkan diri dari orang lain lalu lepasnya dengan berhati-hati.

Untuk mengelak masalah ini dari berlaku, cadangan doktor agar periksa dan ubah diet permakanan anda.

Ia tidak semudah yang disangka, kerana makanan sihat juga mampu menyebabkan kembung perut.

Tetapi, pakar mencadangkan petua untuk mengatasi masalah ini yang anda boleh cuba.

Pertama sekali, kita perlu tahu bagaimana terjadinya kembung perut.

“Kembung perut disebabkan oleh gas yang terhasil dari usus yang memenuhi ruang di dalam usus,” kata Dr Viola Andresen dari Persatuan Gastroenterologi Jerman (DGVS).

Gas itu terhasil apabila bakteria bertindak balas terhadap serat makanan.

Gas ini dipecahkan oleh bakteria kepada dua, satu akan masuk ke saluran darah dan keluar melalui penafasan, dan selebihnya akan keluar melalui saluran dubur.

Perut kembung bukan sesuatu perkara yang membimbangkan, menurut Dr Andresen.

“Ianya sebahagian dari proses pencernaan,” katanya.

Tetapi jika masalah kembut perut merupakan sesuatu yang baru atau menyebabkan anda berada dalam keadaan tertekan, sila rujuk dengan doktor.

Terdapat pelbagai punca yang mendorong kepada masalah ini. Selalunya ia berpunca dari makan makanan yang menghasilkan gas.

Sebagai contoh, ada sesetengah orang mempunyai masalah untuk mencerna laktosa dan/atau fruktosa.

Antara faktor lain adalah kerana pertumbuhan bakteria yang berlebihan di usus kecil atau makan dengan gelojoh juga menyebabkan anda menelan angin yang banyak.

Menurut nota dari pakar dietik Gabriela Freitag-Ziegler dari Persatuan Dietetik Profesional (VDOE) yang berpusat di Berlin, “Walaupun kebanyakkan gas disebabkan oleh metabolisme serat makanan, ini tidak bermakna anda perlu mengelak dari mengambil makanan berserat kerana serat juga penting dalam membantu proses pencernaan dan melindungi anda dari banyak penyakit,”

“Alium (contoh:- bawang, bawang putih, dan daun bawang), kubis, kekacang, roti gandum, dan beberapa jenis buah-buahan dan sayur-sayuran khusunya, menyebabkan kembung perut untuk sesetengah orang,” kata Freitag-Ziegler.

Pakar mencadangkan bahawa sayur-sayuran dan buah-buahan yang dimasak lebih mudah dicerna berbanding dengan yang mentah.

Selain itu, anda boleh mula untuk makan makanan yang kaya dengan serat dengan mengasingkan mereka dalam jumlah yang sedikit, misalnya, kubis dan lentil mengikut kesesuaian anda.

Jika ini tidak berkesan, tidak bermaksud anda perlu membuang serat dalam diet anda. Cuba menggantikannya dengan makanan yang lain.

Terdapat pelbagai jenis kubis yang anda boleh cuba. Pakar dietik itu mencadangkan untuk mencuba kubis hispi (tegak) jika kubis putih tidak sesuai dengan anda. Ia lebih lembut dan mudah dicerna.”

Begitu juga dengan lentil, terdapat perbezaan yang ketara di antara lentil yang ada.

“Lentil yang kecil, yang berwarna merah lebih mudah untuk dicerna.” jelas beliau.

Herba dan rempah juga membantu mengurangkan penghasilan gas usus yang memudaratkan seperti jintan atau jintan manis.

“Selasih segar, daun dill dan taim mampu menambahkan rasa, serta menenangkan perut anda," kata Freitag-Ziegler.

Walaupun orang cuba untuk mengelak dari roti gandum kerana sering menjadi punca gas dalam badan, beliau mencadangkan untuk berikannya peluang kedua.

“Terdapat pelbagai jenis roti gandum yang anda patut cuba,”

“Roti gandum yang menggunakan tepung gandum yang digiling halus lebih mudah untuk dicerna. Tetapi yang paling penting adalah cara pembuatan roti itu sendiri.” tambahnya lagi.

Bahan yang sukar dicerna di dalam doh boleh dikurangkan dengan merehatkan doh dan dibiarkan naik terlebih dahulu untuk jangka masa yang lama.

Bersenam juga merupakan salah satu cara mengatasi masalah kembung perut sepertimana ia membantu menyihatkan tubuh badan.

“Bersenam mampu merangsang usus dan menyalurkan gas dengan lebih baik.” kata Dr Andresen.

Tambahnya lagi, anda akan mengalami sakit perut apabila gas tersangkut dan anda tidak mampu untuk mengeluarkannya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

usus, pencernaan, gaya hidup, diet, kentut