Jangan ambil remeh soal gaya hidup sihat


  • Sihat
  • Isnin, 25 Okt 2021

AKTIVITI seperti berjogging juga antara rutin yang boleh diamalkan bagi menjamin kesihatan lebih baik. — Gambar hiasan/Bernama

PANDEMIK Covid-19 yang melanda seluruh dunia nyata memberikan tekanan kepada seluruh masyarakat dan tidak terkecuali buat rakyat Malaysia.

Ketidaktentuan rutin harian dalam mengejar keperluan hidup seperti wang ringgit juga turut meletakkan orang ramai dalam situasi tertekan hingga mendedahkan diri dengan risiko pelbagai penyakit.

Pandemik global juga menunjukkan penyakit tidak berjangkit (NCD) dapat meningkatkan risiko kematian dan morbiditi.

Lantaran itu, amalan gaya hidup sihat dapat membantu meningkatkan sistem imuniti serta kesejahteraan mental.

Pengasas dan Presiden Persatuan Perubatan Gaya Hidup Malaysia, Dr Sivaneswaran Poobalasingam menjelaskan, bukti yang ada menunjukkan yang gaya hidup tidak sihat menjadi faktor utama dalam patogenesis NCD.

"Namun, bukti turut menunjukkan 80 peratus penyakit kronik dapat dicegah dengan menggunakan enam tonggak utama Perubatan Gaya Hidup (LM).

“Antara gaya hidup sihat merangkumi pemakanan sihat, latihan fizikal, pengurusan tekanan, tidur dengan cukup dan hubungan sosial yang baik dan berhenti mengambil tembakau.

"LM memainkan peranan penting dalam mencegah serta mengurus NCD dan modaliti ini menangani punca penyakit gaya hidup dan mengajar orang bagaimana mengubah gaya hidup ke arah lebih sihat," katanya.

Poobalasingam turut menjelaskan penyakit barah, kardiovaskular dan diabetes berkaitan rapat sekiranya tiada amalan gaya hidup sihat dalam kehidupan harian.

Tambahnya, 70 peratus kematian adalah berkaitan penyakit itu di seluruh dunia.

“Kajian menunjukkan perubahan gaya hidup mengurangkan penyakit pra-diabetes kepada diabetes sehingga 58 peratus,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram