Elemen matang, futuristik ditonjolkan dalam Buzz Lightyear


  • Hiburan
  • Ahad, 07 Nov 2021

FILEM Lightyear mengisahkan kehidupan juruterbang yang terbang ke angkasa dengan kapal roket dan meneroka dunia baharu di angkasa. — Agensi

TEASER sulung bagi filem Lightyear yang berkisarkan kisah asal usul Buzz Lightyear serta hari-harinya sebagai Space Ranger di Star Command, sudah dikeluarkan Disney dan Pixar.

Disuarakan oleh bintang Marvel Cinematic Universe, Chris Evans, filem animasi sci-fi terbaharu itu dianggap bukan seperti siri filem Toy Story biasa yang lain.

Sebaliknya, Lightyear bakal menonjolkan elemen berbeza dengan menceritakan kisah Space Ranger sebenar yang mengilhamkan patung mainan Buzz Lightyear itu sendiri.

Menghuraikan idea itu, Ketua Pegawai Kreatif Pixar, Pete Docter berkata, Lightyear menunjukkan bagaimana seorang juruterbang muda menempa nama dalam dunia aeroangkasa sehingga menjadi legenda.

"Buzz Lightyear ini dalam bentuk animasi, versi manusia yang mendapati dirinya dalam suasana futuristik, terbang ke angkasa dengan kapal roket dan meneroka dunia baharu di angkasa," katanya sambil menyifatkan filem itu lebih matang seiring dengan usia Toy Story yang menjangkau 26 tahun.

Dari sudut pandang lain, filem itu turut disuntik estetika futuristik seperti filem WALL-E dengan memperkenalkan komputer bernama IVAN dan robot bernama ERIC.

Tanpa disengajakan, watak-watak tersebut seolah-olah memberi bayangan bahawa Lightyear dan WALL-E mungkin wujud di alam semesta yang sama.

Sementara itu di Twitter, Chris Evans mendedahkan bahawa memang menjadi impiannya untuk menjadi sebahagian daripada projek filem tersebut.

“Frasa impian menjadi kenyataan selalu diperkatakan, namun saya tidak pernah terfikir ia akan terjadi kepada diri saya.

"Saya masih tidak percaya dapat bekerjasama dengan artis di sebalik pembikinan Toy Story. Kepada @pixar dan @AngusMacLane: Terima kasih #Lightyear,” tulis Evans di Twitter.

Pengarah filem itu, Angus MacLane, mempunyai sebab mengapa dia memilih Evans untuk menjadi suara latar Buzz Lightyear.

“Saya mahu filem ini mempunyai sesuatu seperti graviti dan kesungguhan, tetapi juga mempunyai pelakon yang boleh membawa komedi kepada kesungguhan itu. Dia adalah pilihan pertama dan satu-satunya,” kata MacLane.

Lightyear akan menemui penonton di pawagam pada 17 Jun 2022. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram