DUA sahabat memanfaatkan kebenaran merentas negeri dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika ini dengan mengembara menggunakan basikal lipat dari Johor ke Perlis dalam tempoh 14 hari dan hanya berbekalkan RM500.
Penghantar makanan berbasikal Foodpanda, Muhammad Hezri Muhammad Sabri, 36, dan Mohd Jazaini Abdul Jamal, 48, yang bekerja sendiri berkata, kembara jarak jauh lazimnya menggunakan basikal lebih besar, namun mereka memilih untuk menggunakan basikal lipat yang saiznya lebih satu meter sahaja.
"Kebanyakan orang yang kami jumpa sepanjang kembara ini bertanyakan mampukah basikal lipat ini bergerak jauh.
"Ini kerana basikal lipat lebih sinonim dengan basikal kayuhan taman dan santai-santai. Namun ramai yang tidak menyangka basikal kecil ini tahan lasak serta boleh pergi jauh,” kata Muhammad Hezri kepada Bernama ketika ditemui selepas menamatkan kayuhan mereka di Kangar pada Jumaat.
Beliau berkata, kejayaan mereka merentas negeri-negeri di Semenanjung dari Tanjung Piai, Johor ke Kangar, Perlis sejauh kira-kira 850 kilometer membuktikan bahawa basikal lipat juga sesuai digunakan untuk kembara jarak jauh.
Muhammad Hezri dan Mohd Jazaini yang masing-masing dari Kuala Lumpur dan Shah Alam, Selangor berkata, sepanjang kayuhan itu mereka juga berkesempatan mengenali budaya masyarakat setempat dan berkenalan dengan ramai peminat aktiviti berbasikal.
Tambah Mohd Jazaini, mereka dapat berkongsi ilmu dan maklumat berguna mengenai basikal lipat selain melakukan eksplorasi ke pelbagai lokasi menarik di setiap negeri yang disinggahi.
Menurutnya lagi, walaupun kecil, basikal lipat seberat 11 kilogram itu mampu menampung beban tambahan untuk kegunaan sepanjang kembara seperti khemah, dapur, kerusi serta keperluan asas lain.
Berkongsi pengalaman menarik sepanjang kembara itu, kedua-duanya mengakui teruja apabila menerima sedekah pelbagai makanan dan minuman daripada orang yang tidak dikenali.
"Barangkali itu semua rezeki kami bermusafir, dapatlah kami jimatkan peruntukan kami yang terhad dan duit belanja untuk beli makanan istimewa yang sedap sebagai ganjaran kerana dapat menamatkan misi dengan selamat," katanya.
Mengenai cabaran sepanjang kayuhan pula, mereka menyatakan tidak berhadapan dengan banyak kesulitan kerana telah menyediakan kelengkapan mencukupi jika basikal lipat mengalami masalah di tengah jalan.
"Kelebihan basikal ini, jika tidak boleh dibaiki menggunakan alat ganti yang dibawa, senang nak bawa ke bengkel sebab boleh dilipat kecil dan muat saja kalau menaiki kereta 'Grab' atau tumpang sesiapa," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram