'Najihah... Kalau tahu cerita sebenar, tampil jadi saksi di mahkamah'


NAJIHAH (kiri) tampil menjelaskan kedudukannya selepas mendakwa mengetahui cerita sebenar di sebalik kejadian malang yang menimpa arwah Zulfarhan. — Facebook

"POLIS segera siasat, ambil keterangan," Demikian desakan netizen terhadap rakaman video tular seorang gadis yang tampil menjelaskan kedudukannya selepas mendakwa mengetahui cerita sebenar di sebalik kejadian malang yang menimpa pegawai Kadet Laut UPNM, arwah Zulfarhan Osman Zulkarnain.

“Saya berani menulis di Twitter sebab saya tahu cerita sebenar, tapi minta maaf sangat-sangat sebab tak boleh cerita hal sebenar.

“Kalau cerita nanti makin panjang, arwah dah tenang di sana, yang lain dah kena hukuman, jadi tak ada apa lagi isu. Saya pun minta maaf, sebab menulis macam itu di Twitter,” katanya dalam sesi live di Instagram.

komen 1

TANGKAP layar komen netizen terhadap rakaman video tular Najihah. — Facebook

Gadis dikenali sebagai Najihah itu terdahulu menerima kecaman netizen selepas ciapannya di Twitter dilihat seolah-olah mempertahankan pelaku dan menyalahkan arwah Zulfarhan kerana kononnya apa yang terjadi berpunca daripada perangainya.

Video yang tular sejak Jumaat itu lantas mendapat reaksi warganet yang mahu Najihah segera disiasat kerana bukan sahaja mengganggu urusan mahkamah, bahkan dipercayai menyorokkan bukti-bukti yang boleh membantu pendakwaan.

Seorang pengguna Facebook, Wan Azliana Wan Adnan berkata, polis perlu memanggil gadis berkenaan dan menjalankan siasatan terhadap dakwaannya mengetahui hal sebenar di sebalik insiden yang berlaku kepada arwah Zulfarhan.

Beliau yang juga seorang peguamcara berkata, dalam kes buli selalu berlaku victim-blaming yang mana mangsa dipersalahkan.

"Tiada manusia patut diperlakukan seperti yang dilakukan kepada Zulfarhan. Perbuatan kejam dan keji. Mohon pihak polis siasat dia ni (Najihah)," tulisnya di Facebook pada Jumaat.

komen 2

TANGKAP layar komen netizen terhadap rakaman video tular Najihah. — Facebook

Turut bersependapat ialah Wanmohdzulmizam Wanmusa yang mahu polis segera mengambil keterangan terhadap Najihah atas dakwaannya mengetahui cerita sebenar di sebalik kejadian penderaan arwah Zulfarhan.

"Perjalanan kes ini makin panjang lagi kalau ada saksi-saksi begini tampil bagi kenyataan kepada pihak berkuasa. Cakap tu biar berani bertempat," katanya.

"Budak ni boleh dipanggil sebagai saksi bagi tertuduh. Lagi satu dia sorokkan bukti pembelaan," tulis Abd Hamid Atan.

Najihah menerusi rakaman video sama turut menafikan dia mempunyai hubungan dengan salah seorang pesalah laku dalam kes kematian arwah Zulfarhan.

Katanya, ada sesetengah pihak yang sengaja mengaitkannya dengan pesalah laku tersebut.

“Saya tak ada hubungan apa-apa pun dengan salah seorang pesalah laku itu, suka hati cakap Najihah teman wanita pelaku kes itu, padahal kebetulan sama nama dengan saya, senang-senang cakap," ujarnya.

Majoriti sebelum ini melaporkan hukuman yang dijatuhkan ke atas enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat terhadap Zulfarhan, boleh berubah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan jika timbul keraguan terhadap bukti yang dikemukakan sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram