Petunjuk di sebalik logo pelik Quantumania dalam sekuel terbaharu Ant-Man


  • Hiburan
  • Selasa, 26 Okt 2021

FILEM terbaharu ini akan menjelaskan sebab Kang the Conqueror bertempur dengan Scott Lang dan Hope van Dyne. — Agensi

PEMINAT mengandaikan tipografi pelik dalam logo terbaharu Ant-Man and the Wasp: Quantumania yang didedahkan di Twitter pada Isnin mungkin ada kaitan dengan idea gelung masa.

Gaya tulisan bergelung yang dianggap aneh dan sukar dibaca itu dikatakan memberi petunjuk mengenai plot multiverse dalam filem ketiga daripada sekuel Ant-Man.

Menurut Screenrant.com, filem terbaharu arahan Peyton Reed itu akan merencanakan watak penjahat super kosmik Marvel, Kang the Conqueror lakonan Jonathor Majors.

Majors memulakan debutnya di Marvel Cinematic Universe (MCU) sebagai He Who Remains, iaitu salah satu varian vilain dalam finale musim 1 siri Loki terbitan Disney+ Marvel Studios.

"Seperti yang dijelaskan oleh Mobius (Owen Wilson) dalam siri Loki, peristiwa tertentu berlaku berulang kali kerana ia seharusnya menjadi aliran masa yang tepat.

"Sementara itu, He Who Remains juga mendakwa bahawa walaupun dia mati, dia akhirnya akan menamatkan riwayat di Citadel at The End of Time, bermakna apa yang berlaku sebelum ini akan terjadi lagi," lapor portal tersebut.

Pada masa sama, perincian warna logo Quantumania itu dikatakan sama dengan siri MCU Disney+ yang menggunakan warna biru.

"Ini memberi bayangan akibat kematian watak antagonis, He Who Remains, memberi kesan kepada sekuel ini, yang menjelaskan mengapa Kang the Conqueror bertempur dengan Scott Lang dan Hope van Dyne," katanya.

antman

GAMBAR tular logo baharu Quantumania yang disebarkan di Twitter pada Isnin. —Agensi

Pada Isnin, foto terbaharu dari set Ant-Man and the Wasp: Quantumania mendedahkan satu logo pelik untuk sekuel ketiga naskhah Marvel itu.

Foto itu telah dipadamkan, namun tangkap layarnya sudah tersebar di Twitter, yang menunjukkan tulisan Ant-Man and the Wasp ditulis dalam gaya tulisan biasa manakala 'Quantumania' ditulis dalam stail pelik.

Filem tersebut akan menyaksikan watak utamanya, Paul Rudd (Scott Lang/Ant-Man) dan Evangeline Lily (Hope van Dyne/Wasp) disatukan semula untuk meneruskan penerokaan mereka ke alam kuantum.

Naskhah terbaharu itu dijangka menemui peminat di pawagam pada 28 Julai 2023. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram