Army of Thieves bukan cerita zombi


  • Hiburan
  • Jumaat, 05 Nov 2021

FILEM prekuel ini memberi pemahaman kepada penonton mengenai motivasi Dieter untuk menjejak peti besi Götterdämmerung. — Agensi

KEBANYAKAN peminat filem Army of the Dead arahan Zack Synder pasti menyangkakan filem terbaharunya, Army of Thieves berkisarkan kepada mitologi di sebalik penularan virus yang mencetuskan malapetaka zombi di Las Vegas.

Bagaimanapun, filem prekuel itu lebih memfokuskan kepada perkembangan watak Ludwig Dieter lakonan Matthias Schweighofer yang memburu peti besi keempat hasil pertukangan halus, tukang besi legenda, Hans Wagner, dikenali sebagai 'Götterdämmerung'.

Peti besi itu adalah peti yang terletak di kasino milik Bly Tanaka yang lokasinya kini ditakluki zombi diketuai Zeus seperti yang diceritakan dalam Army of the Dead.

Filem tersebut menunjukkan motivasi watak Sebastian Schlencht-Wöhnert (sebelum menukar namanya kepada Dieter) untuk meneruskan pencarian menjejak peti besi berkenaan selepas kejayaannya membuka tiga peti besi Hans Wagner yang lain iaitu 'Rhinegold', 'Valkyrie' dan 'Siegfried'.

"Prekuel ini memberikan pemahaman kepada penonton mengenai motivasi Dieter, kesukaran memecahkan keseluruhan empat peti besi Hans Wagner dalam Ring Cycle, dan betapa tragisnya nasib Dieter pada akhirnya," demikian menurut reviu filem itu di Screenrant.com.

Meskipun asal usul zombi alpha tidak diceritakan dalam plot Army of Thieves, namun perjalanan filem tersebut diselitkan dengan babak-babak pendek mengenai permulaan keadaan serangan zombi di Las Vegas melalui sedutan berita di kaca televisyen.

Ini menunjukkan walaupun Dieter tahu mengenai serangan zombi itu, dia tekad meninggalkan Jerman untuk ke Amerika Syarikat demi mengejar impian bagi menjadi 'master safecracker'.

Motivasi Dieter turut didorong oleh Gwendoline Starr (Nathalie Emmanuel), salah seorang rakan subahatnya yang berjaya mengubah rutin kehidupan membosankan lelaki itu.

Memandangkan Gwendoline ditangkap oleh Interpol pada pengakhiran filem, Dieter bertekad untuk menjayakan misi mereka mencari Götterdämmerung, lebih-lebih lagi selepas pengorbanan wanita itu berunding dengan pihak polis bagi melepaskannya.

Jadi, alasan mengapa Dieter bergabung dengan pasukan Scott Wade (Dave Batista) dalam Army of the Dead adalah kerana ingin memenuhi janjinya pada Gwendoline untuk membuka peti besi Götterdämmerung itu.

Bagaimanapun, tidak dijelaskan apakah Dieter masih hidup atau tidak kerana pada akhir filem dia memutuskan untuk bersembunyi di dalam Götterdämmerung demi menyelamatkan rakan-rakan lain daripada serangan zombi.

Dengan adanya kaitan antara dua filem tersebut, filem sekuel seterusnya, Army of the Dead 2 yang bakal ditayangkan di Netflix nanti pasti akan lebih menarik. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram