SETAHUN selepas selesai penggambaran, Netflix akhirnya melancarkan treler sulung rasmi The Unforgivable yang dibintangi oleh Sandra Bullock.
Filem itu diadaptasi daripada siri mini British berjudul Unforgiven, karya asal Sally Wainwright yang mengisahkan kepayahan Ruth Slater, seorang bekas banduan yang kembali ke pangkuan masyarakat selepas 20 tahun menjalani hukuman di penjara.
Pembangunan filem itu sebenarnya diusahakan lebih awal iaitu kira-kira sedekad lalu selepas produser filem, Graham King memperoleh hak ke atas siri mini tersebut.
Bagaimanapun, filem yang sepatutnya dibintangi Angelina Jolie itu menyaksikan perkembangan perlahan sehinggalah Bullock bersetuju untuk menerajui dan menghasilkannya secara bersama pada akhir tahun 2019.
Menurut Screenrant.com, meskipun mengambil masa hampir 10 tahun untuk diterbitkan, penantian terhadap The Unforgivable dianggap berbaloi kepada para peminat yang ternanti-nanti kemunculannya.
"Watak Ruth memberi cabaran kepada Bullock kerana karakternya berbeza buat penerima anugerah Oscar itu.
"Ia memperlihatkan sisi gelap Bullock yang perlu membawa watak banduan yang berdepan cabaran untuk kembali ke pangkuan masyarakat dan berdepan stigma gara-gara jenayah lampaunya," kata portal itu.
Menerusi sedutan treler The Unforgivable, Ruth menerima gelaran 'pembunuh polis' dan 'dihukum' masyarakat kerana kesalahan pada masa silamnya.
Dia berharap dapat menebus kesalahan itu dengan berbaik semula dengan adik kandungnya yang terpisah sejak sekian lama.
Selain Bullock, turut membintangi filem itu ialah Viola Davis, Aisling Franciosi, Rob Morgan, Vincent D'Onofrio, Jon Bernthal, Richard Thomas, Linda Edmond dan Emma Nelson.
The Unforgivable arahan Nora Fingscheidt akan ditayangkan di pawagam terpilih pada 24 November diikuti Netflix pada 10 Disember depan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram