Mesej di sebalik pengakhiran Nightbooks


  • Hiburan
  • Rabu, 03 Nov 2021

ALEX (kanan) yang melarikan diri dari rumah diumpan masuk ke apartmen magikal Natacha dalam filem Nightbooks. — Agensi

FILEM keluarga genre seram fantasi, Nightbooks yang diadaptasi dengan sentuhan moden daripada kisah dongeng klasik, Hansel and Gretel sarat dengan maksud tersendiri.

Babak akhir filem yang ditayangkan di Netflix itu menonjolkan mesej yang lebih mendalam tentang kuasa kreativiti dan bagaimana mudahnya ia boleh disalah guna.

Menerusi filem tersebut diceritakan mengenai Alex, seorang budak yang meminati serta menulis kisah seram di dalam buku nota dipanggil 'Nightbooks' dan ahli sihir bernama Natacha, yang meminta Alex menceritakan semula kisah tersebut kepadanya setiap malam.

Dari satu sudut, ditonjolkan bahawa minat Alex terhadap kisah seram membuatkannya dianggap sebagai budak pelik dan disisihkan oleh rakan sebaya termasuk kawan baiknya, Josh.

Sikap rakan sekelasnya itu menggambarkan bagaimana dalam dunia realiti, masyarakat memandang rendah kreativiti dan memiliki persepsi berbeza terhadap golongan artis.

Alex yang melarikan diri dari rumah diumpan masuk ke apartmen magikal Natacha, yang pada mulanya dianggap Alex sebagai sebuah tempat sempurna kerana merasakan minatnya dihargai.

Bagaimanapun, Natacha hanya mahukan kisah seram itu diceritakan dengan cara tertentu mengikut telunjuknya. Ini termasuk jalan cerita tanpa pengakhiran gembira dan plot yang perlu berkisar tentang dunia magis yang begitu asing bagi Alex.

Budak lelaki malang itu turut dibebankan dengan kerja berat bersama-sama Yasmin, seorang lagi kanak-kanak yang terperangkap di dalam apartmen Natacha.

"Keadaan ini boleh disamakan dengan tugas menghasilkan seni komersial, di mana ia menawarkan peluang untuk berkarya, tetapi sentiasa di bawah peraturan orang lain dan untuk kepentingan mereka," demikian reviu filem itu seperti dilaporkan Screenrant.com.

Babak akhir dalam filem tersebut menunjukkan Alex serta Yasmin kembali ke dunia nyata sebagai kawan yang sentiasa menyokong antara satu sama lain.

Alex kembali menulis cerita-cerita seram dalam Nightbooks selepas Yasmin membelikannya sebuah buku nota baharu. Ini menunjukkan betapa pentingnya mencari rangkaian sokongan yang menghargai kreativiti seseorang.

Pengakhiran filem Nightbooks menunjukkan bahawa mesej filem itu adalah mengenai kepentingan kreativiti, tidak takut kepada sebarang bentuk penyisihan dan sentiasa menjadi diri sendiri. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram