Suplemen bijirin pelbagai tinggi beta-glukan, bantu rawat diabetes


  • Sihat
  • Isnin, 01 Nov 2021

Ujian klinikal terhadap manusia yang dikendalikan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) menunjukkan keberkesanan positif suplemen bijirin pelbagai tinggi beta-glukan terhadap pesakit diabetes tahap dua.

Menurut pakar pemakanan klinikal, Dr Lee Lai Kuan, ujian tersebut dijalankan antara 1 Januari 2020 dan 31 Jun 2021 membabitkan 50 subjek ujian yang didiagnosis dengan diabetes tahap dua dan diberikan ‘Oat King’ keluaran TG Ocean Health Food Industries Sdn Bhd selama 12 minggu sebagai ubat pelengkap.

Jelas beliau, syarikat berkenaan juga menyediakan dana sebanyak RM225,390 untuk USM menjalankan ujian klinikal terhadap manusia selama 18 bulan.

"Keputusan ujian klinikal terhadap manusia menunjukkan terdapat pelbagai manfaat untuk pesakit yang mengambil suplemen itu," katanya.

Antara keputusan yang ditonjolkan ialah pesakit yang mengambil suplemen terbabit memperbaiki paras hemoglobin glikat iaitu jumlah glukosa dalam darah pesakit berkurangan.

"Berdasarkan keputusan dalam ujian Hemoglobin A1C (HbA1c), pesakit yang mengambil suplemen menyaksikan paras hemoglobin glikat mereka berkurangan sebanyak 4.8 peratus," jelasnya.

Tambah Lai Kuan, kepekatan jumlah kolesterol dan kolesterol lipoprotein kepadatan rendah dalam kumpulan suplemen berkurangan dengan ketara selepas 12 minggu pengambilannya.

"Suplemen bijirin pelbagai ini memperbaiki komposisi jumlah lemak dalam badan dan lemak viseral dalam kalangan pesakit diabetes tahap dua," ujarnya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram