Vertigo boleh menyerang tanpa disangka


  • Sihat
  • Isnin, 13 Sep 2021

VERTIGO merupakan satu keadaan apabila seseorang itu merasakan diri sendiri berpusing.— Agensi

DUNIA di sekelilingnya dirasakan berpusing, kepalanya pening, telinganya berdesing dan langkahnya terhuyung-hayang.

Itu merupakan simptom yang dirasai pertama kali oleh seorang penghidap Vertigo yang hanya ingin dikenali dengan nama Syafiq.

Menurutnya yang kini masih berdepan dengan Vertigo, dia tidak menyangka akan menghidap penyakit itu dan merasa simptom penyakit itu secara serentak.

vertigo

SYAFIQ merasakan dunianya berpusing semasa mahu bangun untuk ke tandas. — Agensi

"Sebelum ini saya tidak tahu tentang Vertigo apatah lagi menyangka saya berpotensi untuk menghidap gangguan berkenaan.

"Saya mendapat simptom gangguan itu semasa hendak bangun tidur pada pukul dua pagi dan ketika itu saya melihat sekeliling saya seperti berpusing dan saya berjalan seperti orang mabuk," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, tidak tahan dengan keadaan itu, dia terus meminta rakan serumahnya menghantar dia ke hospital sebelum disahkan menghidap gangguan Vertigo.

Vertigo merupakan satu keadaan apabila seseorang itu merasakan diri sendiri berpusing atau kawasan berhadapan tiba-tiba berputar mengelilingi dirinya.

Pesakit yang mengalami vertigo sering mengatakan mereka mengalami masalah pening, pinar dan pusing dan boleh menyebabkan mereka muntah dan keseimbangan badan terjejas.

Menurut Pensyarah Perubatan dan Pakar Otolaringologi (ENT) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Hazmi Mohamed, punca vertigo adalah masalah saraf yang mengawal imbangan sama ada di telinga dalam atau di kawasan pangkal otak.

dr hazmi

Mohd Hazmi

Jelasnya, walaupun vertigo merupakan halusinasi atau gangguan persepsi terhadap gerakan, ia bukan bermakna pesakit mengalami masalah gangguan mental.

"Secara umum, punca vertigo tadi dibahagikan kepada periferal dan berpusat (central.) Periferal vertigo disebabkan oleh gangguan kepada telinga dalam atau sistem vestibular.

"Antara penyakit yang sering dirujuk kepada doktor pakar Otolaringologi (ENT) adalah Benign Paroxysmal Positional Vertigo (BPPV). Pesakit akan mengadu dirinya berpusing selama beberapa saat disebabkan oleh perubahan posisi dan gerakan kepala secara tiba-tiba," ujarnya.

Tambahnya, BPPV terjadi kerana terdapat serpihan kristal karbonat di dalam saluran telinga dalam dan mengganggu sistem keseimbangan. Kecederaan atau hentakan pada kepala merupakan risiko kepada penyakit ini.

Pesakit yang yang mengalami angin ahmar atau strok pada pangkal otak dan serebelum pada kebiasaannya akan mengalami masalah vertigo secara spontan dan akut, dan mungkin juga mengalami simptom strok yang lain seperti lumpuh separuh badan.

"Punca vertigo berpusat adalah masalah di bahagian otak terutama pada bahagian serebelum yang berfungsi sebagai teras sistem keseimbangan.

"Hipertensi dan kencing manis merupakan risiko utama kepada strok. Punca lain vertigo berpusat adalah ketumbuhan pada bahagian serebelum dan juga migrain," jelasnya.

Mohd Hazmi turut menambah, bagi mengelakkan terkena Vertigo, cara hidup yang sihat dan mengawal risiko kesihatan.

Hurainya, aktiviti fizikal perlu dilakukan setiap hari selama 30 minit. Minum air secukupnya dan elakkan daripada trauma kepada kepala, penyakit diabetes dan hipertensi.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Vertigo, UMP, Dr Mohd Hazmi Mohamed, ENT