FILEM Spider-Woman dikatakan mungkin menjadi salah satu daripada dua naskhah Marvel Studio yang bakal menemui peminat pada tahun 2023.
Menurut The Hollywood Reporter, Sony Pictures Entertainment telah menambah dua buah filem Marvel kepada kalendar 2023 dengan tarikh tayangan masing-masing ditetapkan pada 23 Jun dan 6 Oktober.
Ini tidak termasuk filem Kraven the Hunter, juga terbitan produksi Sony Pictures dibintangi Aaron Taylon-Johnson yang bakal menemui penonton pada Januari tahun sama.
Memandangkan Sony memiliki hak ke atas beberapa watak sokongan Spider-Man, ia membolehkan pihak produksi memilih watak yang hendak diberikan perhatian.
Justeru, filem Spider-Woman arahan Olivia Wilde yang dikatakan bakal mengetengahkan Daisy Ridley untuk memegang watak utama, Jessica Drew (Spider-Woman), hampir pasti ke layar perak.
Selain Spider-Woman, sekuel Venom atau Spider-Man, atau mungkin juga sekuel silang (multi-verse), disebut-sebut bakal mengisi slot tayangan yang dijadualkan pada tahun 2023 itu.
Ia berikutan adegan pasca kredit Venom: Let There Be Carnage yang jelas memberi bayangan kemungkinan filem tersebut bakal dikembangkan menjadi siri trilogi.
Peminat juga membuat spekulasi tentang kemungkinan beberapa filem Sony Marvel lain yang berpotensi ditayangkan di pawagam antaranya Madame Web selain Sinister Six dan spin-off Spiderman, Jackpot.
Tiada satu pun daripada filem tersebut telah mengesahkan tarikh tayangan, jadi ia bergantung kepada perkembangan semasa yang menyaksikan terdapat kemungkinan filem berkenaan boleh mengisi slot tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram