Sekolah Sarawak menang emas di Busan International Choral Festival 2021


KELAB Koir Sekolah Menengah Swasta St Joseph menang 2021 Busan International Choral Festival and Virtual Choir Competition. — YouTube

KELAB Koir Sekolah Menengah Swasta St Joseph (SJPS) telah dinobatkan sebagai juara (emas) pada 23 Oktober yang lalu di 2021 Busan International Choral Festival and Virtual Choir Competition, ia merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan rakyat Malaysia.

Dengan memakai batik dan kain pelikat, kelab koir itu memukau juri dengan persembahan lagu rakyat tradisional Melayu, Ikan Kekek, yang diatur oleh Dr Tracy Wong dan Benedict Lo Hin Chi sebagai konduktor.

Ahli juri terdiri daripada konduktor terkenal seperti Anton Armstrong (Amerika Syarikat), Zoltán Pad (Hungary) dan Soon-Jung Kim (Korea Selatan).

Pertandingan itu terbuka kepada ahli koir bukan professional berumur 18 tahun kebawah dan SJPS merupakan satu-satunya wakil Malaysia dalam pertandingan yang berlangsung secara maya itu.

Ditubuhkan pada 2017, kelab koir ini turut mengadakan drama muzikal The White Rajah Of Sarawak pada 2017 dan 2019 di Kuching.

DENDANGAN koir lagu rakyat tradisional 'Ikan Kekek' memikat hati juri antarabangsa.

Ini bukan kali pertama mereka memenangi anugerah, mereka pernah meraih pingat perak di 11th Orientale Concentus International Choral Festival di Singapore (2018), dan pingat emas di 2nd World Virtual Choir Festival di Bandung (2020).

Mereka juga mencatat satu lagi kejayaan pada awal tahun ini apabila memenangi Gold B Award di acara Malaysian Choral Eisteddfod (MCE) National Virtual Choir and Vocal Festival 2021.

Video koir “Ikan Kekek” telah menerima komen positif di saluran YouTube Lo (Benedict JC Lo) dan ia memberi satu sentuhan nostalgia bagi mereka yang membesar dengan lagu rakyat tradisional ini. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Sarawak, koir, sekolah, antarabangsa, emas