Cambridge lantik profesor urologi pertama dari Malaysia


Pencapaian Gnanapragasam dalam bidang urologi di lapangan termasuklah mencipta alat yang dapat melakukan biopsi prostat dengan lebih selamat. — The Star

SEORANG rakyat Malaysia dilantik sebagai profesor urologi pertama di University of Cambridge, London, England, lapor The Star pada Rabu lalu.

Berdasarkan rekod universiti, Prof Vincent J. Gnanapragasam adalah profesor pertama dalam bidang urologi yang dilantik universiti kedua tertua di dunia itu sepanjang 812 tahun sejarah penubuhannya.

Gnanapragasam, 52, berkhidmat dengan universiti itu sejak 13 tahun dahulu dan merupakan konsultan urologi di hospital universiti berkenaan.

"Menerusi carian saya di rekod perpustakaan University of Cambridge setakat ini, belum ada profesor urologi di universiti tersebut sebelumnya, jadi saya percaya saya adalah yang pertama," katanya.

Menyingkap perjalanan pendidikannya, Gnanapragasam bersekolah di Sekolah Kebangsaan La Salle di Petaling Jaya sebelum menyambung persekolahan di Singapura.

Kehidupannya di United Kingdom (UK) bermula apabila dia mendaftar di sekolah perubatan di Newcastle pada tahun 1988 sebelum menamatkan pengajian dengan segulung ijazah falsafah kedoktoran (PhD).

"Pengkhususan bidang kerja saya adalah dalam kanser prostat, dengan menyelidik penyakit itu dan menguruskannya dalam kalangan pesakit.

"Saya dilantik sebagai saintis pakar klinik di sana (Newcastle) melalui anugerah peribadi daripada Cancer Research UK dan berpindah ke Cambridge pada tahun 2008," tambahnya.

Berasal dari Petaling Jaya, Gnanapragasam berkata, perjalanannya ke jawatan profesor dianggap luar biasa kerana pihak universiti memutuskan untuk menukar gelaran akademik rasminya daripada 'Reader' kepada 'Profesor Universiti'.

“Saya dinaikkan pangkat kepada 'Reader' tahun lepas. Ini adalah tajuk akademik yang telah wujud di University of Cambridge selama beratus-ratus tahun.

"Tahun ini, pihak universiti memutuskan untuk menukar gelaran akademik rasmi yang menyaksikan 'Reader' kini adalah 'Profesor'. Jadi, gelaran saya juga bertukar kepada Profesor Urologi," katanya yang dilantik awal Oktober.

Pencapaiannya dalam bidang urologi di lapangan termasuklah mencipta alat yang dapat melakukan biopsi prostat dengan lebih selamat kepada pesakit yang disyaki menghidap barah itu.

Alat dinamakan CamProbe itu mempunyai risiko jangkitan yang lebih rendah dan digunakan di bawah anestetik tempatan menggunakan jalur transperineal (kawasan di bawah testis).

Ciptaan tersebut disifatkan berinovatif kerana pada masa ini, diagnosis prostat memerlukan jarum biopsi dimasukkan melalui dinding usus untuk mencapai organ reproduktif itu. Hal ini boleh menimbulkan risiko jangkitan bakteria daripada usus memasuki sistem kencing dan aliran darah.

Sementara itu, menurut laman web universiti, Gnanapragasam juga memiliki sejumlah paten dan banyak memenangi anugerah bagi penyelidikannya. Ini termasuk anugerah CE Alken, Pingat Persatuan Penyelidikan Urologi dan Anugerah Naib Canselor Universiti Cambridge untuk Kesan Penyelidikan.

“Kemahiran, bakat dan inovasi boleh datang daripada sesiapa sahaja. Mereka sepatutnya tidak dinafikan peluang untuk menyerlahkan potensi diri sepenuhnya.

"Sesuatu yang bermakna hanya boleh diperoleh melalui cabaran, persaingan dan kesukaran," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram