Laksana Undi18 pada PRN Sarawak - Hanipa


  • Politik
  • Khamis, 28 Okt 2021

KUMPULAN Himpunan Tuntut Undi18 pada 27 Mac lalu menuntut agar Undi18 tidak ditangguhkan sehingga September 2022.

KERAJAAN disaran untuk memulakan pelaksanaan Undi18 dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.

Saranan berkenaan dikemukakan oleh ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin yang menegaskan kebenaran kepada pengundi berusia 18 tahun mengundi sebagai menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak berhubung pelaksanaan Undi18.

Jelasnya, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan melaksanakan Undi18 sebelum 31 Disember kelak.

"Seeloknya perintah ini dilaksanakan dalam PRN Sarawak.

"Kita mahu tahu adakah kerajaan benar-benar serius untuk melaksanakan perintah berkenaan atau menganggap keputusan mahkamah ini tiada apa-apa?" ujarnya sewaktu persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Ordinan Peguam Bela Sabah (Pindaan) 2021.

Sejak minggu lalu, timbul desas-desus Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan dalam masa terdekat.

DUN Sarawak sepatutnya berakhir pada 6 Jun lalu tetapi PRN12 terpaksa ditangguhkan setelah Proklamasi Darurat di seluruh negara diisytiharkan kerana Covid-19.

Bagaimanapun, setelah darurat ditamatkan pada 1 Ogos lalu, Sarawak menjadi satu-satunya negeri yang meneruskannya sehingga 2 Februari tahun depan. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Undi18, Hanipa Maidin, PRN Sarawak