Kisah tragis Burari Deaths bongkar masalah mental


  • Hiburan
  • Rabu, 20 Okt 2021

DOKUMENTARI ini menyingkap kisah kematian 11 sekeluarga di Burari, Delhi, India, pada tahun 2018 yang membunuh diri secara beramai-ramai. — Netflix

ISU kesihatan mental dan tekanan jiwa yang dianggap topik tabu dalam kalangan masyarat di seluruh dunia diangkat dalam siri dokumentari terbaharu Netflix, House of Secrets: The Burari Deaths.

Dokumentari itu menceritakan bagaimana sebuah keluarga yang nampak bahagia mengambil keputusan untuk menjalani ritual yang meragut nyawa mereka dalam kejadian di Burari, Delhi, India pada 1 Julai, 2018.

Ditayangkan dalam tiga episod pendek, siri itu membongkar kematian 11 anggota keluarga Bhatia berusia antara 15 hingga 80 tahun selepas menggantung diri daripada struktur jeriji besi di siling, dalam ritual 'Badh pooja', yang dipercayai satu bentuk pemujaan pokok banyan.

Mereka yang mati ialah Devi, 80, anak perempuannya Pratibha, 57; dua anak lelakinya, Bhuvnesh, 50 dan Lalit, 45, serta isteri mereka, Savita dan Tina, masing-masing berumur 48 dan 42 tahun.

Mangsa lain ialah cucunya, Priyanka, 33 (anak Pratibha); Nitu, 25, Monu, 23 dan Dhruv, 15 (anak-anak Bhuvnesh) serta Shivam, 15 (anak tunggal Lalit).

Menurut dokumentari itu, Lalit yang menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas bapanya, Bhatia meninggal dunia, dikatakan mengalami tekanan jiwa ekoran pemergiaan lelaki itu. Lalit dikatakan mengalami halusinasi apabila percaya dia dilawati roh bapanya dalam mimpi.

Ia dibuktikan menerusi penemuan 11 buah diari Lalit yang menyebut bagaimana dia kononnya menerima 'arahan' daripada si mati untuk menjalani kehidupan dalam cara tertentu, sekali gus memberi petunjuk kepada polis bahawa kes berkenaan adalah kematian yang disengajakan.

RAKAMAN sebenar kejadian kes kematian 11 sekeluarga di Burari diselitkan dalam dokumentari ini.

Tambahan pula, Lalit menderita PTSD (post-traumatic-syndrom-disorder) serius selepas kejadian serangan kebakaran pada tahun 2004 yang hampir meragut nyawa dan mengakibatkannya kehilangan suara.

Kupasan demi kupasan dengan menggunakan rakaman sebenar mendedahkan, Lalit menjadi dalang di sebalik kejadian bunuh diri beramai-ramai itu apabila dia berjaya menyakinkan kesemua ahli keluarganya untuk berbuat demikian atas alasan ia merupakan 'permintaan' Bhatia.

Walaupun apa yang mendorong ahli keluarga Lalit untuk mempertimbangkan kata-katanya tidak diketahui namun, perkara yang jelas adalah pelbagai elemen psikologi yang tidak diceritakan membawa kepada pengakhiran realiti menyedihkan.

Seperti yang dinyatakan oleh pakar psikiatri, Dr. Alok Sareen dalam dokumentari itu, ada keperluan untuk isu-isu sedemikian dibincangkan secara terbuka.

"Berbicara hal keluarga serta kekosongan mendalam yang dirasai selepas kematian seseorang adalah langkah pertama untuk menormalkan masalah terpendam," katanya.

Siri House of Secrets: The Burari Deaths yang boleh ditonton di Netflix kini tersenarai sebagai 10 program popular di Malaysia. — Agensi