Langkah mudah optimumkan deria bau dan rasa


  • Sihat
  • Selasa, 26 Okt 2021

SALAH satu kesan menjamah makanan yang seimbang ialah meningkatkan lagi keupayaan untuk mengesan rasa manis, jadi makan dengan sihat dan nikmati pencuci mulut anda. — Agensi
PANDEMIK covid-19 telah mengakibatkan pelbagai jenis masalah berkaitan dengan kehilangan deria bau dan rasa. Ini merupakan simptom utama covid-19 yang sering berlaku dan memberi kesedaran mengenai betapa pentingnya kedua-dua deria itu dalam kehidupan kita.

Kehilangan deria bau dan rasa mengambil masa untuk pulih sepenuhnya. Malah, terdapat langkah-langkah yang anda boleh amalkan. Ia dapat mengembalikan deria dan kenikmatan menikmati juadah harian kita.

Jadi, penting untuk menjaga deria bau dan rasa untuk kepentingan diri anda sendiri.

Antara langkah-langkah yang boleh diambil seperti di bawah:

Makan sayur dan buah-buahan

Amalkan makan sayur dan buah-buahan (terutamanya buah bermusim) untuk membenarkan badan untuk menyerap antioksidan dan vitamin B sebanyak yang mungkin.

Menurut Profesor Sven Saussez iaitu pakar telinga, hidung dan tekak (ENT), sayur dan buah-buahan merupakan kunci utama pemulihan deria bau dan juga memulihkan saraf deria rasa.

Buat temujanji dengan doktor gigi

Penjagaan mulut merupakan satu perkara yang sangat penting untuk mencegah daripada sebarang jangkitan dan memastikan mulut anda bersih.

Menurut laporan dari Persekutuan Doktor Pergigian Sedunia (FDI) yang berpangkalan di Switzerland, ramai doktor gigi seluruh dunia melihat masyarakat kini jauhi diri daripada berjumpa dengan doktor gigi walaupun ia selamat, yang mana ini akan mendatangkan masalah pada masa akan datang.

Radang lidah atau radang papila (lebih dikenali sebagai glossitis) merupakan masalah serius yang melibatkan bahagian mulut. Penyakit ini boleh menyebabkan fungus atau radang di lidah dan menyebabkan ketidakselesaan jika anda memakai gigi palsu atau pendakap gigi.

Memberus gigi dua ke tiga kali sehari adalah baik untuk kesihatan dengan mengekalkan bakteria baik dan mengurangkan bakteria jahat.

Makan diet seimbang

Umum mengetahui kepentingan makan makanan yang seimbang. Rata-rata sudah tahu bagaimana ia mengekalkan tenaga seharian dan mengawal berat badan, kita perlu makan jumlah protein, karbohidrat, lemak yang cukup dan tidak berlebihan.

Makan diet seimbang mampu memberi kesan kepada deria rasa anda dan keupayaan untuk mengesan rasa terutamanya rasa manis.

Kajian dari Bangor Universiti di Wales, UK, menunjukkan bahawa meneguk minuman manis terlalu banyak boleh mengganggu deria rasa untuk mengesan rasa manis.

Otak juga perlukan senaman

“Fungsi deria rasa ini bermula dengan lidah, ribuan saraf deria rasa terkumpul di papila (bintik di permukaan lidah). Deria rasa juga berada di lelangit mulut dan tekak.

“Setiap saraf deria rasa mempunyai 50 hingga 100 sel khas yang mengandungi reseptor rasa,” menurut artikel dari Food Technology Magazine, 2016.

Setiap informasi daripada tindakbalas yang diterima sel rasa akan diterjemahkan kepada mesej elektrik yang dihantar daripada saraf deria rasa hingga ke otak lalu bermulalah proses awal otak terjemahkan rasa dan hantarkan gelombang ke bahagian otak yang lain.

Dalam artikel yang sama, Robin Dando, pakar dari Cornell Universiti, US, menegaskan bahawa “rasa manis yang anda rasa di alam semula jadi menandakan adanya kalori.

“Dari dulu sampai sekarang, kalori merupakan satu perkara yang baik kerana manusia tidak mampu hidup tanpa kalori. Malah, lebih bagus jika anda berjaya mengesan kalori dan menggunakannya,” ulasnya lagi.

Kajian baru-baru ini menyatakan otak ialah kunci deria rasa dan menentukan perasa dalam makanan hasil dari tindakbalas deria bau dan rasa.

Rangsangan deria bau juga penting untuk mengenal rasa dan bau.

Oleh itu, untuk mereka yang diserang penyakit Covid-19 mahupun anosmia (hilang deria bau) digalakkan untuk melatih memori deria bau dengan menghidu minyak pati (essential oils) beberapa kali sehari. Ini bertujuan untuk mengembalikan deria bau.

Anda juga boleh mengasah ketajaman deria bau anda dengan mengenalpasti bau di sekeliling anda, dari dapur ke jalanan, tidak kira wangi atau busuk. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

deria, bau, rasa, diet, makanan