Aspirin berisiko untuk warga emas, pesakit jantung


  • Sihat
  • Isnin, 18 Okt 2021

PAKAR perubatan AS tidak lagi mencadangkan pengambilan harian dos aspirin untuk mengurangkan risiko serangan jantung dan strok bagi warga emas. — AFP
PANEL pakar perubatan Amerika Syarikat (AS) tidak mengesyorkan pengambilan dos aspirin secara harian untuk warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas bagi mengurangkan risiko serangan jantung dan juga serangan strok.

Mereka yang berusia antara 40 dan 59 tahun yang tidak pernah mempunyai sejarah komplikasi kardiovaskular tetapi berisiko tinggi untuk mengalaminya, juga perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum mengambil ubat tersebut.

Kenyataan itu merupakan perubahan besar dalam bidang perubatan AS memandangkan pengambilan aspirin telah menjadi kebiasaan di negara itu.

Aspirin dilaporkan membantu menipiskan darah, mencegah darah beku dan juga mengurangkan risiko serangan jantung atau strok.


Sejak 2016, Pasukan Petugas Perkhidmatan Pencegahan AS, panel pakar perubatan kerajaan, telah mengesyorkan pengambilan dos aspirin secara harian bagi mereka yang berusia dalam lingkungan umur 50-an dan mempunyai 10% risiko atau lebih tinggi untuk menghidap serangan jantung atau strok dalam jangka masa 10 tahun akan datang.

Panel itu juga menyatakan keputusan untuk pengambilan aspirin seharusnya dibuat secara individu bagi mereka yang berusia 60-an.

Namun, ada kajian yang mempersoalkan tentang hal ini sejak beberapa tahun yang lalu.

Pada 12 Oktober, pakar menyatakan bahawa manfaat aspirin tidak mencukupi untuk mengimbangi peningkatan risiko pendarahan, terutamanya di otak mahupun usus untuk orang tua.

“Pengambilan aspirin setiap hari mungkin membantu mencegah serangan jantung dan juga strok bagi sebahagian orang, tetapi ia juga mampu menjadi punca kepada masalah yang lebih serius seperti pendarahan dalaman.

“Jadi, amatlah penting bagi mereka yang berusia 40 ke 59 tahun dan tidak mempunyai sebarang rekod masalah jantung, untuk berbincang dengan doktor tentang kesesuaian diri mereka untuk pengambilan aspirin,” kata John Wong, ahli petugas perkhidmatan.

Cadangan baharu ini masih belum muktamad dan mereka masih membuka ruang untuk perdebatan secara terbuka sehingga awal bulan November.

Menurut kenyataan, mereka tidak akan memberikan aspirin kepada pesakit selepas mengalami serangan strok mahupun serangan jantung.

Dianggarkan 600,000 rakyat AS mengalami serangan jantung pertama dan sekitar 610,000 pula mengalami serangan strok yang pertama.

Pengambilan aspirin untuk mengurangkan risiko masalah jantung telah menjadi kebiasaan bagi penduduk AS.

Menurut kajian pada 2017, 23% orang dewasa berusia 40 tahun ke atas yang tidak mempunyai masalah kardiovaskular mengambil aspirin sebagai langkah berjaga-jaga dan 23% dari kumpulan tersebut mengambil aspirin tanpa nasihat doktor. — The Star

aspirin, warga emas, jantung, strok,