TRAILER pertama sekuel Spider-Man: No Way Home mengesahkan kemunculan beberapa watak antagonis daripada filem Spider-Man terdahulu dan plot multiverse akan menjadi konflik utama dalam penceritaan filem ini.
Antara watak jahat yang bakal muncul kali ini termasuk Electro dan Doctor Octopus.
Pada masa sama, ia turut meninggalkan banyak persoalan, seperti kotak apa yang Spider-Man mencuri dari Doctor Strange.
Terdapat satu adegan yang memaparkan Doctor Strange menumbuk Peter Parker sama seperti adegan antara watak Ancient One dan Smart Hulk menerusi Avengers: Endgame dan Strange.
Adegan ini telah menjadi perhatian dan tanda tanya apabila Parker dilihat memegang sebuah kotak dan lebih menarik ia mempunyai The Seal of the Vishanti.
The Seal of the Vishanti adalah simbol yang sering dilihat di Sanctum Sanctorum, dan melindungi Sanctum dari kebanyakan penyerang ghaib.
Marvel Cinematic Universe (MCU) kini mengorak langkah dengan Fasa 4 merangkumi rancangan TV dan filem.
Tema utama yang digunakan pada ketika ini adalah multiverse, yang mana ia telah diterokai melalui watak Loki dan akan terus diketengahkan dalam Spider-Man: No Way Home.
Menerusi Spider-Man: No Way Home, Peter Parker berdepan situasi yang sukar berikutan rahsianya terbongkar apabila Mysterio pada siri lalu, Spider-Man: Far From Home mendedahkan identitinya kepada umum.
Keadaan itu telah mendorong Parker bertemu Doctor Strange untuk meminta bantuan agar masyarakat dapat melupakan identiti sebenar Spider-Man.
Bagaimanapun usaha Doctor Strange untuk membantu Parker tidak berjalan seperti yang dirancang malah mengundang pelbagai masalah yang lain sehingga menimbulkan konflik di antara mereka.
Filem itu akan ditayangkan ke seluruh dunia pada Disember ini.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram