KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) pada Selasa memutuskan untuk memberhentikan keperluan ujian pengesanan Covid-19 sebelum melancong ke Pulau Langkawi berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bagaimanapun berkata, sebagai langkah mengukuhkan tindakan kesihatan awam, pelancong yang memasuki Pulau Langkawi digalakkan menjalani ujian kendiri sebelum memulakan perjalanan ke destinasi pelancongan itu.
Tinjauan Majoriti di laman sosial mendapati rata-rata netizen mengkritik keputusan itu dan menyifatkannya seperti menempah 'bala' kerana bimbang kes jangkitan dikhuatiri akan melonjak kembali seperti sebelum ini hingga sistem kesihatan awam negara hampir lumpuh.
"Apa masalahnya kalau buat ujian pengesanan Covid-19? Bukankah mencegah lebih baik daripada merawat.
"Sebelum ini pun ada kes positif sebelum ke Langkawi," tulis @farhan_vs di ruangan komen Instagram sebuah portal berita sebagai reaksi kepada keputusan berkenaan.
TANGKAP layar komen netizen di laman Instagram.
Berkongsi pendapat sama ialah pengguna Instagram yang menggunakan nama @mztlakmaa yang merasakan sepatutnya pelancong dari negeri lain yang menaiki penerbangan ke Pulau Langkawi perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebagai langkah berjaga-jaga.
"Sedangkan sekarang orang pergi Langkawi pun ada yang sangkut ketika test (ujian). (KKM) pergi mansuhkan pula lagi-lagi ada risiko naik penerbangan sama dengan orang yang positif Covid-19," tulisnya.
Sementara itu, pengguna yang menggunakan nama @husnakamil_una berpendapat orang ramai perlu mempunyai inisiatif sendiri untuk membuat ujian kendiri seperti yang disarankan oleh KKM.
"Pandai-pandailah buat sendiri (ujian) di rumah, semua tempat pelancongan dah buka kan. Cuma jangan bersikap pentingkan diri kalau tahu anda tak sihat," katanya.
Sebagai rekod, sehingga Ahad lalu, sebanyak 216 pelancong dikesan positif Covid-19 sebelum memasuki Pulau Langkawi yang merupakan destinasi perintis program gelembung perjalanan.
Jumlah itu adalah daripada keseluruhan 54,341 pelancong yang memasuki pusat pelancongan terkemuka di Kedah itu. — Majoriti