TIADA istilah putus asa dalam berjuang, itu kata semangat yang dipegang seorang usahawan Orang Kelainan Upaya (OKU), Mohd Sukur Ibrahim, 37.
Hanya memiliki ketingian 100 sentimeter, Mohd Sukur tidak melihat kekurangan diri sebagai penghalang untuk berjaya dalam hidup.
Memiliki perniagaan membekal dan memasang karpet di masjid, surau serta pejabat di seluruh negara, Mohd Sukur mengakui dalam 10 tahun dia membina kerjaya banyak dugaan yang dilaluinya.
MOHD Sukur menjalankan perniagaan memasang karpet di masjid, surau serta pejabat sejak 10 tahun lalu. — Facebook
Katanya, dia pernah gagal dalam usahanya sebeum ini namun dia tidak pernah putus asa dan belajar dari kesilapan.
"Banyak kesukaran yang saya lalui, namun saya tidak pernah melatah dan sentiasa berusaha untuk mencari jalan penyelesaian.
"Awalnya saya sendiri seorang yang pemalu dan kurang keyakinan tetapi memikirkan masa depan yang perlu ditempuh saya bertekad untuk berusaha mengatasinya," kata lelaki asal Sungai Udang Melaka itu.
Tambahnya lagi, setiap individu perlu bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan termasuk menghadapi cabaran pandemik yang melanda.
Mohd Sukur mengalami kecacatan ketumbuhan tangan dan kaki sejak berumur lima tahun.
Anak keempat daripada enam beradik itu memiliki Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kejayaan yang dikecapi oleh Mohd Sukur turut menjadi inspirasi ramai. Dia turut berkongsi rahsia kejayaan dirinya dalam pelbagai program motivasi dan seminar dan buku bertajuk, Inspirasi Sukur.
Jelasnya lagi, dia bersyukur kerana ahli keluarga sentiasa memberikan suntikan semangat menyokong usaha yang dilakukan olehnya.
"Allah sentiasa memberi ruang rezeki kepada manusia dan tugas kita adalah memanfaatkan nikmat yang diberikan olehNya dengan sebaiknya.
"Saya menggunakan segala kudrat yang ada untuk membangunkan diri dan hasilnya kini saya mampu berdiri di atas kaki sendiri," ujarya. — Majoriti