AGROBANK menjalin kerjasama dengan Malaysia Technology Development Corporation (MTDC) bagi menyalurkan pembiayaan berjumlah RM10 juta dalam usaha mempercepatkan amalan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) untuk sektor pertanian.
Menurut Penanggung Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Khadijah Iskandar, pembiayaan itu diberika bertujuan untuk menyokong 200 usahawan sektor pertanian.
Kata beliau, pelbagai kerjasama dengan agensi dan penyedia teknologi dalam program pemecut menerusi aktiviti sandbox telah dimasukkan dalam pelaksanaan pihak bank.
"Agrobank akan menawarkan penyelesaian pembiayaan kewangan yang komprehensif dan pada masa yang sama menyokong mempercepatkan teknologi digital dalam industri pertanian serta penerapan amalan pertanian moden.
Ia adalah sebahagian daripada visi pihak kami untuk kelangsungan industri pertanian menerusi pelan perniagaan strategik lima tahun dari 2021-2025 yang dilancarkan baru-baru ini," katanya.
Tambah beliau lagi, pembiayaan itu adalah sebahagian daripada inisiatif Agrobank yang digariskan dalam pelan perniagaan mereka.
Jelas Khadijah lagi, menerusi inisiatif itu, pihaknya akan melakukan lebih daripada sekadar pembiayaan tradisional dan bekerjasama dengan rakan kongsi yang menyokong agenda kerajaan dalam memodenkan sektor pertanian.
"Sebagai Institusi kewangan pembangunan (DFI) dengan fokus untuk mengukuhkan sektor pertanian di Malaysia, Agrobank menawarkan akses penyelesaian kewangan yang holistik serta perkhidmatan melangkaui perbankan kepada pelbagai segmen komuniti pertanian.
"Agrobank turut menyokong agenda negara bagi memodenkan sektor pertanian melalui pelbagai dana yang diterima daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI)," ujarnya.
Jelasnya lagi, pihaknya juga menyokong pembangunan rantaian nilai pertanian seperti pembiayaan pemodenan kapal nelayan.
Terdahulu, Khadijah pada Selasa muncul dalam sesi webinar Agro Talk bersama dengan penceramah lain.
Berkongsi pandangan dengan Khadijah semasa webinar bertajuk Entrepreneurship in Malaysia - Redesigning Business Models for the Digital Economy, adalah CEO My Fundaction Afiq Nazary dan 1337 Ventures CEO Bikesh Lakhmichand.
Sesi ini dikendalikan oleh Karamjit Singh, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Digital News Asia.
Mereka mendapati bahawa teknologi dan digitalisasi semakin mendapat tempat dalam mentransformasikan sektor pertanian.
Mereka menyatakan usahawan agro perlahan-lahan menceburi digitalisasi untuk meningkatkan hasil dan pengeluaran dan pada masa yang sama memenuhi keperluan segmen pengguna yang disasarkan melalui pelbagai platform e-dagang. — Majoriti