KERAJAAN harus membantu usahawan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dengan menyalurkan modal untuk mereka memulakan perniagaan kembali.
Penganalisis ekonomi bebas, Dr Baayah Baba berkata, ramai usahawan terutama mereka yang dikategorikan sebagai usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sudah kehabisan wang disebabkan sekatan yang dikuatkuasakan sebelum ini.
"Saya melihat kelonggaran rentas negeri yang diumumkan baru-baru akan membantu untuk pulihkan kembali perusahaan yang terjejas ni tetapi ia akan mengambil masa sehingga dua bulan untuk mereka berdiri semula, mungkin enam bulan baru pulih seperti biasa.
"Namun, kebanyakan mereka sudah kehabisan modal untuk memulakan semula perniagaan, jadi kerajaan harus bantu mereka untuk berdiri kembali," katanya kepada Majoriti.
Beliau melihat ekonomi negara kini sedang menuju ke arah positif, terutama setelah kelonggaran rentas negeri dikuatkuasakan sejak Isnin.
Jelasnya, kelonggaran itu membolehkan indusrti pelancongan negara hidup semula sekaligus membolehkan usahawan-usahawan di negeri lain mendapat manfaat daripada kehadiran pelancong dari seluruh negara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar pada Selasa menyatakan, seramai 37,415 usahawan terpaksa 'gulung tikar' sepanjang tempoh pandemik Covid-19 melanda negara.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 26,007 adalah usahawan mikro manakala 2,738 pula adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS).