James Bond: No Time To Die raih kutipan Box Office RM1.2 billion


  • Hiburan
  • Selasa, 12 Okt 2021

FILEM No Time to Die merupakan franchais James Bond dengan durasi terpanjang iaitu dua jam 43 minit. — Agensi

FRANCAIS terbaharu James Bond, No Time To Die berjaya memperoleh kutipan pecah panggung melepasi AS$ 300 juta (RM1.2 billion) selepas seminggu ditayangkan di seluruh dunia.

Filem ke-25 James Bond itu juga memecah rekod pembukaan filem domestik (Amerika Syarikat) kelima terbaik dalam era pandemik Covid-19 selepas berjaya mendapat kutipan kira-kira AS$ 56 juta (RM241 juta).

Jumlah itu memintas rekod sebelum ini yang dipegang filem Venom: Let There Be Carnage yang memperoleh kutipan AS$ 32 juta (RM133 juta).

Kutipan itu bagaimanapun tidak mencapai sasaran penerbit, MGM dan EON Productions yang menyasarkan anggaran sebanyak AS$ 60 juta (RM249 juta).

Menjadi filem dengan durasi paling panjang (dua jam 43 minit) untuk filem James Bond, penghasilan No Time To Die menelan belanja dengan anggaran AS$ 300 juta (RM1.2 billion).

Menerusi kutipan global, No Time To Die memperoleh kira-kira AS$ 89.5 juta (RM372 juta) dari 66 negara, menjadikan jumlah kutipan antarabangsa mencecah $ 257.4 juta (RM1.07 billion).

Bersama dengan hasil domestiknya, No Time To Die mencapai sekitar AS$ 313.3 juta (RM1.3 billion) di seluruh dunia.

Bagaimanapun filem ini masih belum ditayangkan di China.

Filem Venom: Let There Be Carnage pula mencatat rekod pandemik dengan debutnya sebanyak AS$ 90 juta (RM 374 juta) minggu lalu sekali gus menyaksikan jumlah globalnya mencapai $ 185.6 juta (RM 773 juta).

Filem Marvel, Shang-Chi And Legend Of The Ten Rings telah mencapai kutipan AS$ 400 juta (RM1.6 billion) di seluruh dunia.

Pencapaian itu menjadikan produksi Disney sebagai studio pertama yang berjaya melepasi penjualan tiket global sebanyak AS$2 billion (RM8 billion) untuk tahun 2021. – Agensi