PENYANYI dan YouTubers, Harith Zazman tidak meletakkan harapan tinggi terhadap single ke tiganya, Shut Up yang baru dikeluarkan dapat menandingi sambutan yang diterima menerusi lagu Cute (Stop Lah Being So Cute) yang berjaya menjulang namanya dalam bidang nyanyian.
Harith atau nama sebenarnya Mohamad Harith Saifulzazman berkata, lagu Shut Up adalah merupakan kesinambungan daripada dua single terdahulu yang pernah dikeluarkan sebelum ini iaitu Cute (Stop Lah Being So Cute) dan Tak Tahu.
"Saya tidaklah harapkan Shut Up ini akan meletop seperti Cute, sebab saya tahu memang susah nak dapat seperti itu. Tapi saya suka dengan muzik lagu ini dan saya mahu cuba nasib, kalau orang suka dengar, Alhamdulillah.
"Kalau ikutkan, kita mahu terus keluarkan muzik video, tapi disebabkan pandemik Covid-19 penggambaran muzik video tidak dapat dilakukan dan kami buat keputusan untuk keluarkan lirik video terlebih dahulu.
"Insya-Allah dalam masa terdekat ini kami akan keluarkan muzik video yang masih menampilkan saya dan isteri. Maklumlah, musim Covid-19 ni perlu berjimat.
"Sebenarnya lagu Shut Up ini bukanlah mengenai kisah saya, cuma ia keluar selepas saya sudah berumahtangga, jadi macam ada kena mengena secara tidak sengaja," katanya kepada Majoriti.
Harith mendirikan rumahtangga dengan model, Nuramalina Ghakaskhah.
Menyentuh mengenai kehidupan peribadi, Harith yang baharu mendirikan rumahtangga pada 28 Ogos lalu hanya mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajarinya untuk menjalani kehidupan sebagai seorang suami.
"Alhamdulillah, saya rasa berat badan makin bertambah... makan banyak sebab bahagia.
"Banyak lagi sebenarnya yang saya perlu belajar dalam kehidupan rumahtangga ini. Saya banyak berguru dengan ibu bapa untuk jadi suami yang baik dan belajar macam mana bila ada keluarga pulak.
"Soal anak, buat masa sekarang saya dan isteri berserah pada rezeki, kalau ada syukur... bolehlah tengok saya macam mana masa kecil," katanya yang akan mula terlibat dengan penggambaran telefilem hujung Oktober ini. — Majoriti