Bukan pengemis, warga emas dimarah Baim Wong rupanya penjual buku


  • Hiburan
  • Rabu, 13 Okt 2021

NETIZEN di Indonesia berpendapat tindakan Baim tersebut disifatkan sebagai satu penghinaan terhadap warga emas.
SEJAK dua hari lalu, nama aktor Indonesia, Baim Wong mula menjadi sebutan apabila salah satu konten yang dihasilkannya di Youtube menjadi tular di media sosial.

Menerusi video yang dimuatnaik di YouTube itu, Baim rasa terganggu kerana diekori oleh seorang warga emas dan bagaimanapun tindakannya selepas itu mendapat pelbagai kritikan dan ada juga yang menyifatkannya sebagai tidak sopan dan biadab.

Selain kenyataan Baim, media tempatan turut mendapatkan warga emas yang didakwa Baim sebagai seorang pengemis.

Menurut akaun Instagram @gerakmenebarkebaikan pada Selasa, warga emas tersebut bernama Suhud dan berusia 70 tahun itu adalah seorang penjual buku dan ketika kejadian berlaku, dia dikatakan mahu menjual buku tersebut kepada Baim.

"Ya tidak mengapa, saya waktu itu mahu tawarkan buku saya kepada Baim," katanya.

Pada masa sama, Suhud berkata, dia juga menjual buku dari masjid ke masjid dan daripada usahanya itu, dia hanya memperoleh sekitar RP30,000 hingga RP50,000 sehari (RM8-RM14).

Katanya, selain menjual buku, dia juga membuat kerja lain sebagai teksi motorsikal kerana ingin menampung perbelanjaan rawatan kakinya.

Sejak kisah Suhud ini diketengahkan, rata-rata netizen di Indonesia bersimpati atas apa yang berlaku dan beberapa derma juga telah dikumpulkan untuk meringankan beban warga emas itu. — Agensi