Apa yang perlu anda lakukan selepas sembuh daripada Covid-19?


  • Sihat
  • Selasa, 12 Okt 2021

BAGI sesetengah kes, individu yang dijangkiti mempunyai simptom yang lebih lama daripada kebiasaan. – Agensi

PERKARA utama yang perlu dilakukan ketika seseorang dijangkiti virus Covid-19 adalah berehat, menghidrat dan memantau keadaan diri untuk sebarang simptom-simptom kronik.

Bagaimanapun, bagi bekas pesakit mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah langkah yang perlu dilakukan selepas sembuh daripada Covid-19.

Tidak seperti demam mahupun selsema, Covid-19 mempunyai kesan jangka panjang kepada badan yang akan dirasai terutama oleh bekas pesakit.

Profesor perubatan klinikal dan pengarah perubatan di Houston Methodist Primary Care Group Same Day Clinics, Amerika Syarikat, Dr. Joshua Septimus berkongsi tentang bagaimana seseorang perlu mengharungi hidup pasca jangkitan virus itu.

Katanya ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian bagi seseorang yang baru sembuh daripada jangkitan Covid-19.

Katanya bagi yang pernah dijangkiti, sistem imunisasi badan memerlukan masa untuk membersihkan virus dalam badan mereka.

"Oleh yang demikian sebaiknya elakkan keluar atau bertemu orang lain.

"Sebilangan besar kajian menunjukkan bahawa pada 10 hari terakhir jangkitan, tubuh manusia akan membersihkan virus aktif.

"Seseorang dengan Covid-19 kemungkinan tidak lagi menjangkiti orang lain dalam tempoh tersebut dan 72 jam selepas pulih daripada gejala pernafasan dan demamnya," katanya

Tambahnya lagi, walaupun gejala sudah hilang, sangat penting untuk bekas pesakit terus melakukan kuarantin kendiri bagi memastikan virus tidak merebak.

Ini berikutan ada sesetengah kes, individu yang dijangkiti mempunyai simptom yang lebih lama daripada kebiasaan.

"Khususnya, keletihan dan kehilangan rasa dan bau dapat bertahan di luar jangka masa penularan.

"Gejala yang dihadapi untuk tempoh lama ini tidak terlalu membimbangkan bagi kebanyakan orang," ujarnya.

Septimus menambah, individu yang berdepan keadaan tersebut masih perlu diberi vaksin, memakai topeng dan menjaga jarak sosial.

Satu kajian baru-baru ini mendapati bahawa orang dewasa yang tidak divaksinasi dua kali berpotensi untuk dijangkiti semula dengan Covid-19.

"Tindak balas sistem imun terhadap virus ini bergantung kepada berapa lama imuniti pelindung boleh bertahan.

"Kita memahami keadaan ini dan jelas vaksin dapat membantu untuk melindungi diri dari dijangkiti semua oleh virus Covid-19," jelasnya.

Hurainya lagi, adalah penting untuk mereka yang pulih mendapatkan vaksin dan terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang melindungi diri dan orang lain.

Ia termasuk menjaga jarak sosial, memakai topeng dan mencuci tangan secara berkala. – Agensi

Covid-19, sembuh, virus, kesan, Joshua Septimus