Kes Covid-19 akan menurun di musim sejuk — Pakar


  • Benua
  • Ahad, 10 Okt 2021

PAKAR menasihati orang ramai supaya terus memakai pelitup muka ketika menyertai sebarang perhimpunan di luar.

JUMLAH kematian akibat Covid-19 akan menurun ketika musim sejuk, kata pakar penyakit berjangkit terkemuka Amerika Syarikat (AS), Anthony Fauci.

Menurutnya, dia yakin akan perkara itu selepas melihat penurunan kadar kematian begitu juga dengan jumlah mereka yang dimasukkan ke hospital.

"Berapa cepat angka itu akan turun atau sejauh mana ia berkurangan banyak bergantung kepada pelbagai keadaan.

"Keadaan seperti cuaca sejuk, orang ramai banyak melakukan aktiviti di dalam rumah serta sejauh mana keberkesanan garis panduan CDC (Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit),” katanya.

Fauci yang juga merupakan ketua penasihat perubatan kepada Presiden AS, menasihati orang ramai supaya terus memakai pelitup muka ketika menyertai sebarang perhimpunan di luar.

Katanya lagi, tidak kira sama ada mereka sudah lengkap divaksin atau tidak masih ada komuniti mempunyai Covid-19 yang tersebar luas.

"Mujur ketika ini, sejak beberapa minggu terakhir, kita menyaksikan lekuk yang mula menampakkan penurunan untuk kedua-dua kes - kematian dan pesakit yang dimasukkan ke hospital.

"Angka kematian masih meningkat tetapi mula mendatar, jadi ia satu petunjuk ia semakin perlahan,” ujarnya.

Pada September, pakar kawalan penyakit berjangkit memberi amaran, varian Delta terus menjadi kebimbangan utama di AS.

Negara itu menyaksikan lonjakan kes baharu sehingga 98 peratus, daripada 13 peratus pada Jun sekali gus mencatatkan kadar kes dan kematian akibat Covid-19 tertinggi di dunia.

Menurut data terbaru dari Universiti Johns Hopkins, AS mencatatkan lebih 44.3 juta kes sejak permulaan wabak dan jumlah kematian melebihi 712,000.

Presiden Joe Biden ketika angka korban Covid-19 melepasi 700,000, berkata berdasarkan fakta kematian penyakit itu terus meningkat memberi makna bahawa lebih ramai rakyat negara itu perlu mendapatkan vaksin. — Agensi

AS, Covid-19, menurun, musim sejuk, Anthony Fauci