PENGUMUMAN kerajaan yang membenarkan aktiviti rentas negeri dalam kalangan individu yang lengkap vaksin disambut baik seluruh negara.
Bagaimanapun, polis sentiasa memantau dan melakukan pemeriksaan bagi mengelak ada individu yang belum atau tidak lengkap vaksin mengambil kesempatan kelonggaran yang diberikan kerajaan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya akan terus memantau tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan tiada lagi amaran sekiranya ada berlaku pelanggaran.
"Pemeriksaan secara mengejut yang akan dilakukan dari semasa ke semasa itu bagi memastikan individu tanpa vaksin tidak mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung.
"Kerajaan sudah umum mereka yang mahu merentas negeri perlu lengkap vaksin, maka mereka perlu patuhi perkara itu.
"Aspek pematuhan SOP sudah diingatkan sejak tahun lalu lagi. Ada masanya kita perlu berkeras.
“Kali ini, kita terus kompaun mereka yang rentas negeri tanpa vaksinasi lengkap tanpa diberi amaran dahulu," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad memberikan peringatan tentang SOP mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Hazani menjelaskan, pemeriksaan rawak akan tertumpu di kawasan tumpuan termasuk Hentian Rewat dan Rawat (R&R) dan pusat beli belah.
"Kita tahu tiada lagi sekatan jalan raya untuk mengawal pergerakan rentas negeri, tetapi sekatan jalan raya dan operasi lain seperti Op Benteng tetap dilaksanakan untuk menangani aktiviti jenayah dan pelanggaran SOP," katanya. — Berita Harian