Sorok ganja dalam speaker, Anji rayu ringankan hukuman penjara


  • Hiburan
  • Khamis, 07 Okt 2021

Anji dijatuhkan hukuman penjara dan rehabilitasi selama lima bulan.

PENYANYI popular, Anji membuat rayuan kepada pihak berkuasa Jakarta, Indonesia agar hukuman penjara dan rehabilitasi selama lima bulan terhadapnya atas kesalahan penyalahgunaan dadah jenis ganja dapat diringankan.

Memetik laporan portal DetikHot, penyanyi yang popular dengan lagi Dia itu membuat rayuan tersebut di hadapan pihak berkuasa Pengadilan Negeri Jakarta Barat, Indonesia pada Rabu.

Anji pada masa sama, mengakui kesilapannya dan berjanji untuk memperbaiki diri selain enggan lagi mengulangi perbuatan tersebut.

"Saya berjanji akan memperbaiki diri, saya berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini.

"Oleh kerana itu saya minta yang mulia hakim dapat meringankan hukuman supaya saya dapat kembali menjalani kehidupan bersama keluarga dan karier," katanya.

Anji atau nama sebenarnya Erdian Aji Prihartanto ditahan pihak polis atas kesalahan penyalahgunaan dadah di kediamannya di Jakarta Timur pada 11 Jun lalu.

Ketika serbuan, Anji dilaporkan berseorangan dan pihak polis telah menemui ganja yang disorokkan di dalam sebuah pembesar suara. — Agensi

Penyanyi Anji, Dia, dadah, ganja