EKSKLUSIF

Artis otai kekal relevan di media sosial


  • Hiburan
  • Rabu, 01 Sep 2021

KEDUA-DUA legenda ini masing-masing memiliki lebih sejuta pengikut di Instagram. — The Star/MStar

BIARPUN sudah lebih tiga dekad bergelar anak seni, nama Datuk Rosyam Nor dan Ziana Zain dilihat kekal relevan dan masih menjadi pujaan para peminat tidak kira yang sudah berusia mahupun generasi baharu.

Bercerita mengenai susah payah menjalani karier, Rosyam Nor dan Ziana Zain menyedari kehadiran platform media sosial hari ini banyak membantu mereka untuk terus kekal berada dalam bidang yang dicintai.

Berkongsi lanjut, Rosyam Nor berkata, untuk seseorang artis terus kekal relevan ia memerlukan komitmen yang besar apatah lagi pada ketika ini ramai bakat baharu di kalangan orang muda telah muncul sekaligus mewujudkan persaingan yang besar.

"Berada dalam industri selama 37 tahun adalah satu perkara yang amat menyeronokkan dan saya berterima kasih kepada ALLAH SWT kerana memberikan nama Rosyam Nor kepada saya. Alhamdulillah, walaupun usia dah mencapai 54 tahun tapi peminat masih berdiri teguh di belakang saya termasuklah peminat baharu dari generasi muda.

"Untuk sampai ke tahap ini, saya harus menjaga marketing untuk kekalkan jenama saya sebab itu media sosial adalah platform yang tepat. Jika digunakan secara berhemah, ia mampu memberi kelebihan dan memudahkan seseorang artis untuk mempromosikan jenama masing-masing.

"Berbeza dengan zaman dahulu, artis-artis bergantung dengan surat khabar atau majalah yang hanya memilih artis lebih muda. Jadi sukar untuk seseorang artis untuk mempromosi diri dan ia berbeza dengan situasi sekarang di mana artis seusia saya boleh promosi dan berinteraksi bersama peminat hanya dengan media sosial," katanya kepada Majoriti.



ROSYAM ketika menjalani penggambaran drama bersiri Cik Ayu Mee Sanggul terbitan Suhan Movies. — Instagram Suhan Movies

Pemilik aktor yang terkenal dengan watak Tailong itu berkata, pada masa sama dia tidak menolak untuk terus memberikan kerjasama kepada para media tidak kira dari surat khabar, majalah atau digital kerana berpandangan platform itu memiliki pendekatan berbeza untuk mempromosikan seseorang artis.

Selain itu, Rosyam yang kini aktif di YouTube menerusi Suhan Channel yang sudah mencapai 20 juta tontonan berkata, kayu pengukur untuk seseorang artis kekal relevan adalah personaliti dan hasil kerja yang baik.

"Saya selalu bercakap, bila orang mahu mengenali kita mereka akan lihat daripada penampilan kita dan kalau orang mahu mengingati kita, mereka akan lihat daripada kerja kita. Dua formula ini menjadikan Rosyam Nor relevan sampai sekarang.

"Peminat ada teguh di belakang saya adalah disebabkan kerja-kerja saya. Saya cukup percaya bahawa kerja yang baik itu mampu memberikan ketahanan kepada sesuatu jenama dan saya mengharapkan agar peminat meletakkan saya di dalam hati mereka," katanya yang memiliki lebih satu juta pengikut di akaun Instagram.

WhatsApp Image 2021-08-26 at 17.50.18

ZIANA menyifatkan ketahanan keriernya sehingga hari ini adalah rezeki yang telah ditetapkan oleh ALLAH SWT. — Instagram Ziana Zain

Sementara itu, penyanyi yang popular dengan lagu Madah Berhelah, Ziana Zain percaya seseorang artis perlu sentiasa mengikuti perkembangan terbaharu dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa demi kebaikan karier.

"Sebenarnya masa awal-awal gunakan Instagram dan Facebook memang mencabar maklumlah saya tidak membesar pada zaman digital dan terpaksa ambil masa untuk sesuaikan diri dengan media sosial.

"Tidak kisahlah apa orang nak kata, yang penting saya cuba upgrade diri secara berperingkat supaya tidak terlalu jauh ketinggalan dan peminat juga boleh tahu tentang perkembangan karier saya.

"Tapi saya tidaklah terlalu terbuka, cuma berkongsi perkembangan karier sahaja itu pun mana yang perlu saja sebab mahu jaga exclusivity. Kalau terlalu terbuka takut nanti peminat sudah tidak teruja," katanya yang turut memiliki satu juta pengikut di Instagram.

Tambah Ziana, dia turut menyifatkan ketahanan keriernya sehingga hari ini adalah rezeki yang telah ditetapkan oleh ALLAH SWT.

"Jika tanya saya apa yang membuatkan saya terus ada dalam dunia hiburan hari ini adalah kerana rezeki dan keberkatan doa ibu bapa serta sokongan peminat.

"Bagi saya dalam apa jua keadaan, kita perlu sentiasa menjaga hubungan kita dengan semua orang, tidak perlu jadi hipokrit dan paling penting perlu sentiasa ikhlas selain jangan merungut sebab kita perlu sedar, ramai orang di luar sana mahu jadi seperti kita," katanya.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram