LEGA... Personaliti media sosial, Coki mengakui seronok dan teruja apabila menjadi individu terawal menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi kelompok remaja dan pelajar sekolah bermula Isnin.
Meskipun pada awalnya berasa gementar untuk menerima suntikan pelalian itu, Coki atau nama sebenar Muhammad Danish Daniel bagaimanapun memberanikan diri selepas memikirkan manfaat yang bakal diterima.
"Semasa kerajaan umumkan program imunisasi untuk remaja bawah 18 tahun, saya dah bersedia dan hari ini terpilih menjadi orang terawal menerima suntikan itu.
"Mulanya rasa takut juga tapi saya reda sahaja... memandangkan kes jangkitan Covid-19 masih tinggi, jadi saya melihat dari sudut positif vaksin untuk melindungi diri daripada jangkitan dan mengelakkan simptom yang teruk jika dijangkiti.
"Memandangkan ibu bapa saya dah lama ambil, jadi saya bertanya dengan mereka... itu sebab saya beranikan diri. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan!" katanya.
Pelakon berusia 16 tahun ini menerima suntikan dos pertama vaksin Comirnaty keluaran Pfizer Bio-NTech di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
Pada 17 September lalu, kerajaan mengumumkan program vaksinasi terhadap kumpulan remaja berusia 12 hingga 17 tahun khususnya pelajar sekolah bermula Isnin. — mStar
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram