TERDAPAT desas desus yang mengatakan bahawa siri popular Netflix, Squid Game musim kedua bakal mengisahkan usaha watak utama Gi-Hun untuk mengakhiri pertandingan kejam itu buat selamanya.
Bagaimanapun ia hanyalah spekulasi berdasarkan plot dalam episod akhir siri itu.
Pengarah dan penulis siri Squid Game, Hwang Dong-hyuk memberitahu, dia masih belum ada perancangan untuk musim kedua karya tersebut.
Katanya, dia masih buntu untuk menulis kesinambungan siri yang mencetuskan fenomena dunia itu dan mungkin memerlukan bantuan penulis serta pengarah berpengalaman untuk menggarap naskah yang terbaik.
"Saya penat memikirkan apa sambungan siri ini dan semestinya saya tidak boleh menggarap cerita itu sendiri.
"Apa yang pasti musim kedua Squid Game sudah ada dalam perancangan dan akan menemui peminat tidak lama lagi," katanya.
Tambahnya lagi, dia sendiri memerlukan masa enam bulan untuk menulis semula dua episod pertama musim pertama siri itu selain meminta pandangan rakan-rakan bagi menambah baik jalan ceritanya.
Jelasnya lagi, idea disebalik jalan cerita musim pertama merupakan eksperimen Dong-hyuk dalam mengolah permainan kanak-kanak kepada suatu yang mendebarkan.
Namun, dia masih buntu bagaimana untuk melangsungkan keterujaan peminat ketika menonton adegan itu dalam musim kedua.
Apabila ditanya tentang siapa yang akan membintangi musim kedua, Dong-hyuk menjelaskan masih belum ada ketetapan untuk perkara itu, namun yang pasti ada lebih banyak bakat baharu yang bakal diketengahkan.
Siri Squid Game dilancarkan dengan sembilan episod pada 17 September 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif Netflix, Ted Sarando menyifatkan siri bergenre thriller itu sebagai rancangan terbesar streaming.
Musim pertama siri itu mendapat kedudukan pertama carta rancangan bersiri popular di 82 dari 83 negara yang menyediakan perkhidmatan penstriman filem, Netflix. — Agensi