Nubhan positif Covid-19, kuarantin di hotel bimbang isteri hamil 6 bulan


  • Hiburan
  • Khamis, 30 Sep 2021

NUBHAN berkata dia mengalami gejala demam panas sebelum disahkan positif Covid-19.

SELEPAS kakak dan abang iparnya disahkan positif Covid-19 pada 2 Ogos lalu, penyanyi Nubhan Ahmad turut memaklumkan dijangkiti wabak itu pada 16 September lalu.

Nubhan, 35, berkata dia kini menjalani kuarantin di sebuah hotel berikutan bimbang isterinya yang sedang hamil enam bulan anak ketiga mereka.

"Bila rasa demam, saya terus buat sendiri ujian kit Covid-19 dan terkejut bila keputusannya adalah positif. Masa itu isteri saya sudah kelam kabut dan sangat bimbang sebab keadaannya yang sedang hamil enam bulan. Isteri pun buat sama ujian itu tapi keputusannya negatif, jadi malam itu juga saya terus kuarantin sendiri di dalam bilik.

"Esoknya doktor datang untuk buat ujian calitan untuk kami sekeluarga dan keputusannya hanya saya seorang sahaja yang positif. Jadi kerana bimbangkan keadaan isteri dan anak-anak, saya pun kuarantin seorang diri di sebuah hotel," katanya kepada Majoriti.

Terdahulu, Nubhan menerusi Instagram berkongsi sebuah video yang memberitahu dirinya disahkan positif Covid-19.

"Akhirnya saya positif Covid-19. Isteri dan anak-anak Alhamdulillah negatif dan mereka hanya kuarantin di rumah," tulisnya pada kapsyen.

Mengulas lanjut, Nubhan berkata, selain demam dan sakit kepala dia juga mengalami gejala hilang deria rasa dan bau pada hari ketiga selepas dijangkiti wabak itu.

Bagaimanapun, dia mengakui sedikit lega apabila sudah lengkap divaksin.

"Saya sangat bersyukur sudah lengkap dua dos vaksin dua bulan lepas, jadi keadaan saya tidak teruk hanya berada pada kategori dua sahaja.

"Saya mengaku dulu pun pernah terpengaruh tidak mahu ambil vaksin sebab banyak sangat maklumat tolak vaksin di media sosial.

"Tapi saya tidaklah terlalu fanatik sampai jadi antivaksin cuma terpengaruh dengan benda yang tidak betul tentang vaksin. Ada yang kata kalau ambil vaksin boleh mati dan banyak lagi maklumat yang boleh buat orang terpengaruh.

"Sehinggalah mak saya hampir dijangkiti kerana menjadi kontak rapat beberapa orang di kampung. Masa itu saya sangat risau dengan keadaan mak, sebab dia orang yang berisiko dan belum divaksin tambahan pula yang kontak rapat itu ada yang meninggal dunia.

"Alhamdulillah, mak negatif dan sejak itu saya sentiasa cari peluang untuk dapatkan vaksin seawal mungkin untuk saya dan keluarga," katanya.

185968978_218071443140649_5492624243586690921_n

Nubhan bersama isteri dan dua anaknya.

Pada masa sama, Nubhan turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa beringat dan tidak terlalu bebas bergerak walaupun kelonggaran telah diberikan oleh pihak berkuasa.

"Walaupun sudah lengkap dua dos, perlu berjaga-jaga... kalau kena masih rasa sakit, lepas tu leceh nak kena kuarantin dan banyak benda pula kena buat.

"Saya sendiri pun tak tahu dari mana dapat jangkitan ini, kalau ikutkan apa yang doktor jelaskan, simptom saya bermula selepas lima hari dijangkiti, dan sebelum itu saya cuma pergi ke gym... mungkinlah dapat dari situ. Saya pun tidak ada ke mana selain pejabat dan kedai," katanya.

Nubhan mendirikan rumah tangga dengan seorang doktor gigi, Afifah Hidayah Tawfek, 35, pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata, iaitu Aafiya Kamilia, 4 dan Ahmad Afan berusia dua tahun.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Nubhan Ahmad, positif Covid-19