NAMPAKNYA perang dingin antara kedua-dua bekas anggota kumpulan Ace of Angels (AOA) masih belum berakhir apabila Kwon Mina mendedahkan bahawa selain dirinya, ada tiga lagi mangsa buli Jimin.
Mina mendakwa, salah seorang mangsa dibuli Jimin juga telah meninggal dunia.
“Umur saya hampir 30 tahun dan anda fikir saya tidak boleh mencarut? Takut ke dengan komen-komen kecaman? Saya bertekad untuk berjaya dan saya takkan menangis disebabkan komen-komen negatif yang saya terima. Cakaplah sebanyak mana yang anda mahu. Lebih baik saya hidup sebagai diri sendiri.
“Dulu saya pernah berfikir apabila saya hilang sabar, saya akan kalah dalam perjuangan, tetapi sebenarnya ia tidak benar.
“Ia menjadi lebih sukar untuk kembali dan saya lebih kecewa. Saya mungkin hidup sebagai diri sendiri. Jika anda fikir saya tak boleh kerana saya adalah seorang selebriti atau mereka tidak menganggap saya sebagai selebriti, saya bersedia untuk bersara dari dunia hiburan.
“Ada bukti (untuk menyokong kenyataan bahawa Jimin membuli). Namun, ada beberapa lagi mangsa dan saya kebetulan menjadi yang terakhir. Saya menyimpan ini untuk tuntutan mahkamah tetapi ada empat mangsa termasuk saya dan salah satunya telah meninggal dunia,” katanya.
Pada masa sama, Mina berkata, dia tidak diganggu oleh anggota lain dari kumpulan itu melainkan hanya Jimin yang membulinya.
Dalam perkembangan lain, polis sedang melakukan siasatan terhadap laporan serangan seksual ke atas Mina.
Pada Julai 2020, Mina mendedahkan di Instagram dia pernah dibuli ketua kumpulan itu, Jimin selama beberapa tahun sewaktu dia masih menganggotai AOA.
Dia turut mendedahkan Jimin kemudian datang meminta maaf kepadanya selepas perkongsian itu dibuat. Bagaimanapun, Mina tidak yakin Jimin ikhlas mohon maaf.
Kumpulan AOA yang ditubuhkan oleh agensi FNC Entertainment pada 2012 itu pada mulanya dianggotai oleh lapan orang termasuk Mina, Jimin, Choa, Yuna, Youkyung, Hyejeong, Seolhyun dan Chanmi.
Namun, sehingga hari ini, kumpulan itu hanya tinggal empat orang iaitu Seolhyun, Yuna, Hyejeong dan Chanmi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram