PERKEMBANGAN masalah buah pinggang anak kepada pelawak Shahrol Shiro iaitu Ismail Rifqi semakin membimbangkan selepas doktor memberitahu organ berkenaan kini semakin membengkak dan 80 peratus salurannya telah tersumbat.
Isteri Shahrol, Nor Farhanah Syamimi berkata, anak kedua yang berusia lapan bulan itu perlu menjalani pembedahan secepat mungkin bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk.
"Rabu lepas kami bawa Ismail untuk menjalani ujian Mag3 di Sunway Medical Centre bagi mengetahui lebih lanjut keadaan buah pinggang dia. Doktor beritahu buah pinggang kanan Ismail tiada, maksudnya dia lahir dengan hanya satu buah pinggang sahaja di sebelah kiri.
"Kami memang tidak tahu sebab masa saya hamil, tak terfikir untuk buat detail scan. Saya juga tidak mengalami sebarang masalah kesihatan atau alahan ketika itu. Setiap kali hadir ke pemeriksaan bulanan, doktor cakap saya dan anak okay.
"Doktor sarankan pembedahan perlu dilakukan segera sebab 80 peratus saluran buah pinggang ke pundi kencing tersumbat dan menyebabkan buah pinggangnya bengkak," katanya kepada Majoriti.
Kata Nor Farhanah, walaupun diberi tempoh masa sebulan, namun dia dan Shahrol enggan berlengah memandangkan Ismail hanya bergantung kepada satu buah pinggang sahaja.
"Kos yang dianggarkan antara RM30,000 hingga RM40,000 bergantung kepada keadaan Ismail selepas pembedahan. InsyaAllah, dalam seminggu dua ini kami usahakan untuk pembedahan.
"Tapi doktor pun ada bagi tahu selepas pembedahan ini kemungkinan saluran tersumbat itu akan berulang tapi sejauh mana tahap seriusnya kita tidak tahu. Ada tahap yang boleh dirawat dengan makan ubat sahaja.
"Walaupun kami diberitahu pembedahan ini berat untuk Ismail namun demi kebaikan dia dan kami amat mengharap semuanya dipermudahkan," katanya.
Biarpun masih sedih dan terkejut dengan keadaan kesihatan Ismail, namun dia bersyukur kerana dapat mengesan awal masalah yang dialami anaknya itu.
"Alhamdulillah, sekurang-kurangnya kami dapat tahu awal dan kami boleh beri rawatan dengan pembedahan ini tidak sampai ke tahap dialisis.
"Masa awal-awal dapat tahu perkara ini, saya dan suami memang rasa Ismail dalam keadaan yang teruk sehinggalah Rabu lepas apabila doktor menjelaskan keadaan sebenar, kami sedikit lega kerana buah pinggang kirinya masih boleh berfungsi dengan baik jika ia dijaga dengan rapi," katanya.
Shahrol dan Anna berkahwin pada 8 Mac 2016. Selain Ismail, pasangan ini dikurniakan anak sulung bernama Iskandar Rizqi berusia empat tahun.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram