SERING dilihat mengenakan selendang dan bertudung, pelakon Farah Nabilah akhirnya mengakui bahawa dia kini sudah berhijrah dan memilih untuk tampil berhijab penuh.
Katanya, penampilan itu juga merupakan imej baharu setelah bergelar isteri dan ibu.
Enggan mengulas lanjut, ibu kepada seorang putera, Andre Omar yang kini berusia 9 bulan itu hanya menyatakan yang sebenarnya dia tidak mahu perkara itu dihebohkan dan biarlah ia diketahui sendiri oleh peminat.
Pelakon yang terkenal menerusi drama Titian Cinta itu juga bagaimanapun berterima kasih kepada peminat yang sentiasa mendoakan kebaikan buat dirinya dan keluarga.
Farah atau nama sebenarnya, Farah Nabilah Saipuddin mendirikan rumah tangga dengan juruterbang, Mohammed Amirul Yunus pada 20 Disember 2019.
Dalam muat naik status di Instagram juga Farah sering berkongsi gambar mengenakan selendang dan berpakaian sopan dengan mengenakan baju kurung.
Rata-rata peminat juga memuji penampilan yang dikenakan aktres itu dan membanjiri ruangan komen dengan sokongan dan doa.
Terdahulu, beberapa selebriti seperti Izara Aishah, Siti Elizad, Vicha dan Betty Rahmat antara yang membulatkan tekad hati untuk berhijab.— Berita Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram