Dr.Sam bersyukur 'Saya Anak Malaysia' masih relevan


  • Hiburan
  • Selasa, 31 Ogos 2021

DR. SAM Berharap agar apa yang dipancarkan tentang rakyat Malaysia dalam lagu ini akan kekal sehingga bila-bila. — Agensi

PENYANYI lagu patriotik malar hijau, Saya Anak Malaysia, Dr. Sam bersyukur kerana lagu itu masih menjadi siulan dan diputarkan di corong-corong radio sempena sambutan Hari Kemerdekaan setiap tahun.

Dr. Sam atau nama sebenarnya Salim Ibrahim, 68, memberitahu, impak lagu ciptaan bersama Datuk M Nasir itu masih relevan dalam menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia serta meniup rasa semangat kekitaan dan kecintaan kepada tanah air meskipun sudah berusia 35 tahun.

Menurutnya, apa yang dikecapi menerusi lagu tersebut merupakan kurniaan Allah yang memberikan kelebihan kepadanya untuk menciptakan lagu berkenaan dan menyanyikannya sebagai tanda kecintaan kepada negara.

"Tiada apa yang perlu dibanggakan tetapi saya bersyukur kerana lagu ini masih diingati sejak ia dilancarkan pada tahun 1986.

"Malah, ramai penyanyi lain turut menyanyikannya semula lagu ini dalam versi mereka menjadikan ia terus bernyawa serta menjadi antara lagu kegemaran setiap kali sambutan Kemerdekaan," katanya.

Jelasnya lagi, lagu berkenaan membawa makna yang mendalam tentang keindahan budaya dan kaum di Malaysia.

Katanya, lirik lagu itu jelas menggambarkan bahawa rakyat Malaysia yang lemah lembut, sopan santun dan berbudi bahasa.

"Saya berharap agar apa yang dipancarkan tentang rakyat Malaysia dalam lagu ini akan kekal sehingga bila-bila," ujarnya.

Apabila ditanya bahawa adakah dia mempunyai rancangan untuk merakam semula lagu berkenaan dengan nafas baharu, Dr.Sam memberitahu dia tidak pernah terfikir soal itu dan cukup baginya generasi muda pula menyambung legasi yang ditinggalkan olehnya. — Berita Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Dr.Sam, M.Nasir, Saya Anak Malaysia, Merdeka