PEDIH ulu hati merupakan masalah pencernaan yang berlaku apabila asid perut bersentuhan dengan lapisan esofagus, sekali gus mengakibatkan kerengsaan.
Punca utama berlakunya gejala pedih ulu hati adalah penyakit Reflux Gastroesophageal (GERD).
Ia terjadi apabila asid perut refluks ke dalam kerongkong, lalu menghasilkan sensasi membakar pedih ulu hati.
Sekiranya anda mengalami pedih ulu hati akibat GERD, penting untuk mengetahui bahawa GERD adalah penyakit progresif yang boleh berkembang daripada tahap ringan hingga parah termasuk kanser dan pra kanser.
Menurut laporan Medical News Today, GERD mempunyai empat tahap iaitu:
Tahap 1: GERD ringan
Pada tahap ini, pedih ulu hati ringan dan gejala lain hanya terjadi sekali atau dua kali setiap bulan. Ubat yang dijual di pasaran cukup efektif untuk mengendalikan gejala ringan.
Tahap 2: GERD sederhana
Pada tahap ini, pedih ulu hati dan gejala lain berkait dengan GERD lebih sering terjadi, sekurang-kurangnya seminggu sekali.
Jika tidak diubati, gejala ini boleh mengganggu aktiviti seharian seseorang dan menyebabkan radang kerongkong.
Ubat preksripsi doktor diperlukan untuk mengatasi masalah pedih ulu hati pada tahap ini.
Tahap 3: GERD parah
Pada tahap ini pula, pedih ulu hati dan gejala lain tidak dapat dikawal dengan baik melalui ubat-ubatan dan mampu mempengaruhi kualiti hidup seseorang.
Prosedur pembedahan mungkin diperlukan untuk mengubati gejala secara efektif.
Tahap 4: Kanser kerongkong
Tahap ini adalah kesan daripada GERD parah yang tidak boleh diubati. Rawatan menyeluruh diperlukan pada tahap akhir ini.
Jika anda mengalami gejala seperti pedih ulu hati yang tidak reda, berasa sakit ketika menelan makanan atau muntah, disarankan untuk berjumpa doktor dengan segera kerana dikhuathiri anda berada pada tahap parah. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram