EKSKLUSIF

Menangis diejek angkara tangan kuat berpeluh


  • Sihat
  • Rabu, 08 Sep 2021

SABRINA malu berdepan orang ramai kerana masalah yang dihadapinya. — Majoriti

KEYAKINAN dirinya pernah merudum teruk sehingga menangis semahu-mahunya gara-gara diejek kerana kuat berpeluh meskipun fizikalnya kecil.

Itulah yang dialami Nur Sabrina Saifu’d-din, seorang gadis yang menghadapi masalah peluh berlebihan atau dikenali sebagai hiperhidrosis.

Nur Sabrina, 19, yang berasal dari Alor Setar, Kedah berkata, dia menghidap penyakit tersebut sejak berusia 12 tahun yang menyebabkan tangan dan kakinya mengeluarkan peluh berlebihan secara tiba-tiba tanpa mengira waktu.

“Masalah ini berlaku secara tiba-tiba. Pada mulanya, masalah ini tidak terlalu serius tetapi lama-kelamaan ia semakin teruk sehinggakan air sentiasa menitik daripada bahagian tapak tangan dan kaki saya. Apa saja yang saya pegang akan basah.

“Contohnya apabila saya ingin melakukan kerja sekolah, saya mengalami kesukaran untuk memegang pen dan kertas yang digunakan untuk menulis pun akan menjadi basah hingga terkoyak," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2021-08-25 at 21.40.52-2

Keadaan tangan Sabrina yang sentiasa berpeluh hingga menyukarkannya menjalani kehidupan seharian.

Pelajar Diploma Seni Kulinari di Institut Makanan Malaysia (FIM) Petaling Jaya di Selangor itu memberitahu, masalah sama turut dihadapi oleh kakaknya tetapi tidak seteruk dirinya.

Tambahnya, masalah yang dihadapinya itu menyebabkannya sering berasa tidak yakin terhadap diri sendiri dan malu untuk berhadapan dengan orang ramai.

“Boleh dikatakan hari-hari saya berasa insecure terhadap diri saya. Ada kalanya saya menangis bersendirian akibat diejek oleh rakan-rakan.

“Ketika zaman persekolahan, saya sering menjadi bahan ejekan rakan-rakan hinggakan ada yang tidak mahu memandang saya," ceritanya lagi.

Begitupun jelas Sabrina, dia kini tidak lagi berdepan situasi memalukan sedemikian kerana rakan-rakan di kolej benar-benar memahami keadaan dirinya itu.

"Apabila saya mahu bersalaman dengan orang pun saya terpaksa lap dahulu tangan saya kerana khuatir orang lain akan geli.

“Boleh dikatakan saya memang hidup dengan tangan dan kaki basah sejak bangun pagi hinggalah tidur semula pada waktu malam," ujarnya.

Jelas Sabrina, dia pernah bertanya kepada doktor akan masalah yang dihadapinya itu tetapi apabila doktor mencadangkan supaya dia melakukan pembedahan, dia nekad tidak mahu mendapatkan rawatan susulan kerana takut dibedah.

"Bagi mereka yang turut menghadapi masalah sama seperti saya, jangan malu dengan diri sendiri dan hiraukan segala ejekan dan tohmahan yang dilemparkan," ujarnya.

Percaya atau tidak, bukan Nur Sabrina seorang yang menghidap penyakit sebegini. Hiperhidrosis atau peluh berlebihan adalah situasi apabila terdapat peluh di luar keperluan fisiologi badan, kata pakar kesihatan, Dr Noorlaily Mohd Noor.

Dr Noorlaily yang dipetik menerusi portal MyHEALTH berkata, ia berlaku mungkin disebabkan faktor keturunan bermula ketika kanak-kanak atau remaja yang mungkin berterusan selama beberapa tahun.

"Punca sebenar hiperhidrosis masih tidak diketahui. Peluh dihasilkan oleh kelenjar peluh yang terletak di dalam kulit dengan bilangan tertinggi di tapak tangan dan tapak kaki.

"Aktiviti kelenjar peluh berada di bawah kawalan sistem saraf simpatetik yang mungkin terlalu aktif dalam diri seseorang indidvidu yang mengalami hiperhidrosis.

"Walaupun ia tidak dikaitkan dengan kematian, ia boleh memberi kesan yang ketara ke atas kualiti hidup pesakit yang mengalaminya," kata Dr Noorlaily.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram