EKSKLUSIF

Suka-duka kartunis, artis yang dipinggirkan


DARI kiri: Ubi, Sireh dan Ernest Ng bercerita mengenai survival masing-masing sebagai kartunis. — Majoriti

PELUKIS juga artis. Cuma entah di mana silapnya, darjat pelukis khususnya pelukis komik tidak dimartabatkan seumpama pelakon dan penyanyi menurut kaca mata majoriti marhaen.

Hierarki kartunis lazimnya tidak diletakkan sekasta sedangkan mereka juga berpaksikan kanvas yang digelar seni sejak sekian lama. Artis kelas kedua? Bunyinya memang kejam namun hakikatnya kartunis saja yang tahu betapa peritnya mahu meraih pengiktirafan saksama laksana pemain seni berbeza.

Sementelahan pula hadirnya sekatan lockdown yang tidak didambakan semua orang, suka atau tidak maka terlepaslah soru untuk memujuk perut supaya sentiasa diisi waima sekelumit rezeki.

Bagi kartunis bernama Raja Ahmad Kamil Raja Mokhtar, yang lebih dikenali dengan nama Ubi, 46, beliau sendiri kehilangan beberapa punca pendapatan akibat pelaksanaan lockdown.

"Dari segi pendapatan, saya boleh katakan ada beberapa sumber yang tertutup akibat penguatkuasaan sedemikian. Contohnya, sebelum ini kami (kartunis) boleh hadir atau menyertai pelbagai acara dan menawarkan khidmat melukis karikatur di acara tersebut. Tetapi apabila sekatan dilaksanakan, banyak acara yang tidak dapat dijalankan.

"Begitu juga dengan tawaran kerja bersama klien. Sejak musim Covid-19 ini, banyak syarikat mengambil langkah berjimat cermat dalam berbelanja. Kebiasaannya, projek seperti ini memberi pulangan yang besar," katanya kepada Majoriti.

Ya, memang semua terkesan dengan sekatan pergerakan, kartunis turut tidak terkecuali. Disebabkan itu, Ubi tidak hanya bergantung kepada aktiviti melukis semata-mata, sebaliknya turut menceburkan diri dalam bidang penghasilan permainan video.

"Saya ada menghasilkan satu permainan video di telefon pintar yang dipanggil Greedy Toyol. Apa yang saya perasan ketika musim lockdown ini, jumlah muat turun semakin meningkat. Ini mungkin disebabkan orang ramai bosan ketika berada di rumah dan menghabiskan masa dengan bermain permainan video," ceritanya lagi.

Turut senada dengan Ubi adalah rakannya yang dahulu pernah bersama-sama berkhidmat di majalah Ujang, siapa lagi tak lain dan tak bukan yakni Sireh.

Cerita pemilik nama sebenar Anuar Hassan itu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini industri komik turut mengalami perubahan drastik sehingga menyebabkan sebilangan kartunis dilihat bergelut untuk mencari makan.

Sireh & Ubi

Ubi (kanan) dan Sireh pernah bersama-sama berkhidmat di Majalah Ujang. — FACEBOOK UBI

"Kartunis pada zaman ini harus mengubah paradigma supaya selari dengan perkembangan teknologi jika mahu terus kekal relevan pada masa kini.

"Bukan saja kartunis, saya lihat penggiat seni lain seperti penyanyi juga semakin kreatif dalam mempromosikan diri mereka terutamanya ketika musim sekatan pergerakan ini, contohnya ada penyanyi yang menganjurkan gig secara online. Jadi, kartunis juga harus menggunakan platform sedia ada ini untuk meneroka lebih banyak peluang pendapatan.

"Jika dulu kartunis mungkin boleh berharap pada jualan majalah atau komik sebagai sumber pendapatan utama, namun sekarang semua benda sudah digitalisasi. Jadi, nak tak nak kita harus menerima hakikat dan mengadaptasi cara kita berkarya mengikut peredaran zaman," katanya yang kini menjadi tenaga pengajar di sebuah universiti swasta di Cyberjaya.

Sementara itu, kartunis yang semakin popular selepas komik digital Covidball Z yang dihasilkannya tular di media sosial, Ernest Ng, 35, juga percaya kartunis semasa harus berani berubah mengikut peredaran zaman.

"Saya akui, industri pada masa kini agak berbeza dengan perubahan teknologi dan kehadiran pelbagai media sosial. Jualan majalah fizikal juga mengalami penurunan jika dibandingkan dengan beberapa tahun dahulu. Jadi, sebagai kartunis kita turut harus berubah dari segi penyampaian dan penghasilan kandungan supaya pembaca terus menerima karya kita," ungkapnya.

Ernest Ng

Komik Covidball Z terinspirasi daripada situasi Covid-19 di Malaysia. — INSTAGRAM ERNEST NG

Menurut Ng, beliau sendiri memanfaatkan platform media sosial untuk sering mempromosikan aktiviti serta karya-karya yang dihasilkan, selain kartunis juga harus bijak menyusun strategi supaya tidak tenggelam dalam arus teknologi.

"Walaupun saya memuat naik komik digital secara percuma di media sosial, saya akan menyelitkan karya-karya tambahan di dalam komik yang diterbitkan. Jadi, peminat yang mengikuti komik tersebut akan turut mendapatkan naskhah fizikal.

"Kita juga boleh berinteraksi dengan pembaca di media sosial untuk menaikkan imej kartunis itu sendiri, selain meminta pendapat serta maklum balas mereka untuk memperbaiki diri," katanya.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram