Bantuan psikologi: Hapuskan persepi dicop 'orang tidak siuman'


  • Massa
  • Jumaat, 10 Sep 2021

RAS Adiba berkata, orang ramai perlu menghapuskan persepsi sekiranya mereka mendapat bantuan psikologi akan di'cap' sebagai orang tidak siuman.— Bernama

JIKA seseorang individu mengesyaki dirinya mengalami masalah kesihatan mental, mereka tidak sepatutnya malu mendapatkan sokongan, demikian tegas Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Penaung National Alliance of Mental Health (NAMH) itu berkata, orang ramai juga perlu menghapuskan persepsi sekiranya mereka mendapat bantuan psikologi akan di'cap' sebagai orang tidak siuman.

"Tidak semestinya kita tak nampak, ia tidak ada. Adakalanya seseorang memerlukan bantuan dan adakala mereka memberi amaran tetapi kita tidak dapat melihatnya.

"Oleh itu, adalah penting untuk kita semua bersama-sama, saling menjaga antara satu sama lain, memerhati dan menyedari akan petunjuk dan perkara kecil. Kita semua manusia, ada hari yang kita perlukan sokongan dan sedikit galakan," katanya ketika berucap dalam ‘Hope Symposium 2021’ anjuran Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) hari ini.

Bertemakan 'Thriving in Mental Health with Meaning and Compassion', simposium yang berlangsung secara maya sejak Khamis itu bertujuan meningkatkan kesedaran umum mengenai isu kesihatan mental bersempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia.

Tema Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia tahun ini adalah ‘Bertindak Segera, Harapan Terbina’ bertujuan meningkatkan keyakinan masyarakat bagi memainkan peranan penting dalam mencegah insiden bunuh diri dan menghapuskan stigma berkaitan tingkah laku bunuh diri.

Terdahulu, Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata hingga Julai tahun ini, sejumlah 638 kes bunuh diri dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berbanding 262 kes bagi tempoh sama pada 2020 iaitu peningkatan sebanyak 143 peratus atau 1.4 kali lebih banyak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Ras Adiba, mental, kesihatan