Kanak-kanak dan remaja diberi suntikan vaksin Covid-19 bermula minggu depan


  • Benua
  • Khamis, 09 Sep 2021

KANAK-kanak dan remaja di Chile akan diberi suntikan vaksin bermula minggu depan. — Agensi

KANAK-kanak berusia 6 hingga 11 tahun dan remaja berusia 14 hingga 17 tahun di Chile akan diberi suntikan vaksin Covid-19 bermula minggu depan, lapor portal Xinhua.

Suntikan ini bagaimanapun bergantung kepada penilaian kesihatan yang akan dilakukan terhadap mereka.

"Bermula Isnin (13 September) dan Khamis (16 September) remaja berusia 14 hingga 17 tahun boleh mendapatkan suntikan di Cesfams (Pusat Komuniti Kesihatan Keluarga) termasuk kanak-kanak berumur 6 dan 11 tahun yang mempunyai penyakit komorbiditi.

"Chile antara negara pertama di dunia yang mula memberi suntikan vaksin Covid-19 terhadap kanak-kanak, ini penting bagi melindungi mereka," kata Timbalan Menteri Kesihatan Awam Chile, Paula Daza kepada wartawan pada Rabu.

Institut Kesihatan Awam pada Isnin meluluskan vaksin CoronaVac yang dibangunkan farmasi China Sinovac bagi kegunaan kecemasan, untuk kanak-kanak dan remaja berusia antara 6 hingga 17 tahun.

Sebelum ini, kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas telah diberi suntikan vaksin Pfizer-BioNTech.

Sebanyak 13,207,294 penduduknya sudah lengkap suntikan vaksin Covid-19, iaitu 86.89 peratus daripada keseluruhan populasinya iaitu 15.2 juta orang, menurut data terkini Kementerian Kesihatan.

Di Amerika Selatan, sebanyak 26,419,036 dos vaksin Covid-19 telah diedarkan, terutama jenis CoronaVac.

Chile melaporkan jumlah jangkitan terendah sejak beberapa minggu lalu, berikutan peraturan penjarakan sosial dan kempen vaksinasi yang sedang berlangsung.Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kanak-kanak, remaja, chile, vaksin, covid-19