Covid-19 jejas kesihatan mental, undang risiko bunuh diri


  • Primer
  • Jumaat, 10 Sep 2021

SEKIRANYA kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ia berisiko untuk tingkah laku bunuh diri, kata KP Kesihatan. — Agensi

SITUASI pandemik Covid-19 di seluruh dunia memberikan impak amat besar kepada kesihatan mental setiap individu dan masyarakat di Malaysia yang tidak terkecuali berdepan dengan perkara sama, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, faktor sosial yang menyebabkan stres terlampau antaranya hilang pekerjaan atau sumber pendapatan, isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai boleh memberi kesan kepada sesetengah individu yang berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan.

“Sekiranya kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ia berisiko untuk tingkah laku bunuh diri.

"Tingkah laku bunuh diri meliputi idea bunuh diri (suicidal ideation), rancangan bunuh diri (suicidal plan), cubaan bunuh diri (suicide attempt) dan kematian akibat tindakan bunuh diri,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia, pada Jumaat.

Tema tahun ini adalah ‘Bertindak Segera, Harapan Terbina’ bertujuan untuk meningkatkan keyakinan masyarakat bagi memainkan peranan penting dalam mencegah insiden bunuh diri dan menghapuskan stigma berkaitan tingkah laku bunuh diri.



Dr Noor Hisham berkata pandemik Covid-19 memberi impak besar kepada kesihatan mental.

"Sejumlah 638 kes bunuh diri dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berbanding 262 kes bagi tempoh sama pada 2020 iaitu peningkatan sebanyak 143 peratus atau 1.4 kali lebih banyak.

"Selaras dengan konsep Keluarga Malaysia, masyarakat memainkan peranan bersama bagi mengenal pasti simptom awal kemurungan dan tingkah laku bunuh diri dalam kalangan orang yang disayangi terutamanya dalam situasi Covid-19.

"Ia termasuk mengambil tahu dan bertanya khabar ahli keluarga dan orang sekeliling terutamanya yang terkesan akibat pandemik, memberikan sokongan dan dorongan untuk mendapatkan bantuan dan rawatan, serta mengelakkan penularan berita, video atau gambar berkaitan kejadian bunuh diri menerusi media sosial," katanya.

Menurut beliau, masyarakat juga perlu membuang stigma negatif terhadap keluarga serta individu dengan penyakit mental dan tidak menghakimi kejadian bunuh diri yang berlaku, di samping mengekalkan hubungan dan memberi sokongan sosial terutama selepas sesuatu krisis berlaku.

"Antara inisiatif yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani isu tingkah laku bunuh diri adalah pengukuhan perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial, sokongan terhadap usaha dekriminalisasi cubaan bunuh diri dan advokasi kempen ‘Let's TALK Minda Sihat’.

"Inisiatif lain termasuk latihan berterusan kepada first-line responders seperti anggota kesihatan, polis, dan anggota bomba bagi meningkatkan kemahiran pengendalian tingkah laku bunuh diri dan mempergiat sesi libat urus dengan pelbagai kementerian serta agensi kerajaan dan bukan kerajaan," katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, KKM akan terus komited menjalinkan kerjasama serta mengalu-alukan pelbagai agensi lain untuk mengambil bahagian dalam pelaksanaan pencegahan tingkah laku bunuh diri.

Katanya, usaha itu diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pencegahan tingkah laku bunuh diri, menghapuskan stigma terhadap tingkah laku bunuh diri dan seterusnya menurunkan kadar kematian akibat bunuh diri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Civid-19, Noor Hisham, KKM, bunuh diri,